Pesawat Tentera Terbang Rendah, Penduduk Dinasihatkan Jangan Cemas
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 26 Ogos 2022 – Orang ramai adalah dinasihatkan agar tidak cemas dan risau sekiranya melihat pesawat-pesawat tentera serta agensi keselamatan dan penguat kuasa terbang rendah di sekitar kawasan mereka, maklum Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dalam laman Twitter mereka.
Hal ini kerana pesawat udara milik TUDM, TDM dan TLDM serta pesawat-pesawat udara milik pasukan keselamatan dan penguat kuasa dari Polis Diraja Malaysia (PDRM) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) akan melaksanakan latihan dan persiapan bagi Sambutan Hari Kebangsaan bermula pada 26 Ogos 22 sehingga hari sebenar sambutan pada 31 Ogos 2022.
Latihan ini adalah bagi koordinasi Terbang Lintas Hormat dan Segmen Udara (air segment) melibatkan pesawat udara milik ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Sepanjang tempoh latihan persiapan sahingga hari sebenar, pesawat-pesawat terlibat akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal di beberapa kawasan latihan iaitu sekitar Kuantan, Pahang, sekitar Kuala Lumpur dan beberapa kawasan sekitar Lembah Klang.