Tempatan

Peruncit Sorok Lebih 1.5 Tan Minyak Masak

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

BUKIT MERTAJAM, 27 Mei 2023 – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menyita 1,557 kilogram minyak masak paket bersubsidi yang disorok di rumah tamu kediaman seorang pemilik kedai runcit di Taman Seri Tambun, Simpang Ampat.

Serbuan yang dilakukan jam 1.50 tengah hari pada Khamis lalu dengan kerjasama Jabatan Kastam Diraja Malaysia mendapati minyak masak paket bersubsidi itu disorok untuk dijual di pasaran luar dengan harga yang lebih tinggi.

BACA JUGA: Jabatan Penjara Benar Lawatan Keluarga 2 Hari Sempena Pesta Menuai

BACA JUGA: YPPM Gesa Isytihar Pondok Pesantren Di Jawa Barat Sebagai Sesat

BACA JUGA: Cuaca Panas: Aktivis Gesa Tindakan Realistik Diambil

Pengarah KPDN Pulau Pinang, S. Jegan berkata, hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lelaki berusia 50-an itu mempunyai permit barang kawalan berjadual untuk menyimpan minyak masak di kedai runcitnya tetapi bukan kediaman tersebut.

“Ikut permit lelaki itu hanya boleh menyimpan 500 kilogram minyak di kedai runcitnya namun pemeriksaan menemui jumlah berganda. Sehubungan itu, kita telah menyita lebih 1.5 tan minyak masak paket yang bernilai RM3,892.50,” katanya pada sidang media di Stor Eksibit KPDN di Bukit Minyak, pada Jumaat.

Malah, peruncit itu turut didapati mempamerkan notis tiada bekalan minyak paket subsidi untuk dijual kepada pelanggan di kedainya meskipun dia mendapat bekalan daripada pembekal.

“Susulan aduan diterima, pegawai kita lakukan penyamaran untuk siasat dakwaan dan hasil penyamaran mendapati suspek memberi alasan tiada bekalan minyak masak paket setiap kali pelanggan mahu membelinya.”

Katanya, kes akan disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan seorang lelaki tempatan berkenaan turut ditahan bagi membantu siasatan

Mengulas lanjut, Jegan menasihatkan peniaga dan orang ramai agar tidak terlibat dalam penyelewengan barang kawalan bersubsidi terutama minyak masak bagi membantu Kerajaan menjayakan objektif subsidi sampai kepada pihak yang sepatutnya.

“Sekiranya penyelewengan terus berlaku, ini akan menyebabkan kerugian dan objektif bagi membantu isi rumah yang memerlukan tidak tercapai.”

“Kita juga tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba menyalahgunakan barang kawalan bersubsidi,” jelas Jegan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: