Persatuan Ulama Malaysia Desak Konsert Coldplay Dibatalkan
SHAH ALAM, 20 November 2023 – Persatuan Ulama Malaysia (PUM) mendesak penganjur Konsert Coldplay: Music Of The Spheres World Tour In Kuala Lumpur supaya membatalkan konsert tersebut.
Menurut Setiausaha Agungnya, Prof. Dr. Mohd. Roslan Mohd. Nor, persatuan itu akan menghantar memorandum kepada Kementerian Komunikasi dan Digital sebagai tanda bantahan terhadap penganjuran program yang dilihat tidak sensitif dengan situasi perang di Gaza.
Sebelum ini, dalam satu kenyataan, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah berkata, “Penganjuran program yang melalaikan ini tidak memberi manfaat kepada masyarakat di negara ini. Lebih-lebih lagi, kumpulan muzik ini dikaitkan dengan kumpulan tidak bermoral yang mempromosikan LGBT.”
Lanjutan itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut bersetuju konsert tersebut dibatalkan kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada negara.
“Elok dibatalkan sahaja konsert ini sebab tidak membawa sebarang kebaikan, melainkan konsert-konsert tempatan, boleh membantu ekonomi mereka.”
Tambah beliau, Kerajaan seharusnya menilai baik buruk sesuatu perkara sebelum meluluskannya terutama konsert dari luar negara.