Perkhidmatan Rel Bermula 4.30 Pagi 31 Ogos Ini
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 24 Ogos 2022 – Semua perkhidmatan rel yang merangkumi LRT, MRT dan Monorel akan bermula pada jam 4.30 pagi pada 31 Ogos ini sempena sambutan Hari Kemerdekaan 2022.
“Ayuh #KeluargaMalaysia, jom gunakan pengangkutan awam pada 31 Ogos untuk pergi ke Dataran Merdeka (atau ke mana-mana sahaja),” katanya di laman Facebook rasmi Rapid KL.
Sebelum ini, pihak polis menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam berikutan beberapa jalan utama akan ditutup pada hari berkenaan.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Noor Dellhan Yahaya mengatakan bahawa lapan jalan utama di sekitar Dataran Merdeka akan ditutup dan dilencongkan bagi tujuan keselamatan dan kelancaran sewaktu sambutan itu berlangsung.
Pihak polis juga mengingatkan orang ramai yang hendak menyaksikan perarakan sempena sambutan Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos 2022 di Dataran Merdeka nanti untuk merancang perjalanan mereka.