Perkasa Pendidikan Islam Di IPT – MAPIM
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
Pada Sidang Meja Bulat Memperkukuhkan Pendidikan Islam pada 18 Oktober 2022 di Institusi Pendidikan Tinggi anjuran MAPIM dengan kerjasama Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM ), kami telah mengumpulkan para sarjana , cendekiawan , tokoh dan aktivis NGO untuk membincangkan isu yang berkaitan.
Kami telah merumuskan sebuah memorandum untuk menzahirkan keprihatinan kami mengenai isu yang dibincangkan dan akan dipanjangkan kepada Menteri Pendidikan Tinggi, Naib Canselor IPT serta pemimpin Parti Politik.
Kami menggesa pihak Kerajaan khususnya Kementerian Pendidikan Tinggi meletakkan pendidikan Islam di institusi pendidikan tinggi sebagai kurikulum penting dalam pengajian tinggi negara dalam kerangka pembangunan nasional.
Selaras kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Falsafah Pendidikan Islam serta Akta Pendidikan 1996, pendidikan Islam perlu diperkasakan dalam sistem pendidikan di IPT.
Dasar menjadikan Islam sebagai teras kepada agenda pembangunan negara perlu dizahirkan dalam sistem pendidikan nasional dari peringkat rendah hingga ke pengajian tinggi.
Kami berpendirian acuan pembangunan nasional hendaklah berteraskan kepada nilai dalam acuan Islam demi membina negara dengan warganegara yang berjati diri Islam yang kukuh, berakhlak mulia, berintegriti yang kuat, nilai patriotisme dan hidup harmoni antara agama dan kaum yang mendalam serta menghayati nilai dan budaya hidup murni.
Pelajar yang menjalani tahap pendidikan tinggi tidak harus terputus dari pengajian Islam kerana pengetahuan dan amalan hidup Islam perlu diterapkan secara berterusan.
Mahasiswa yang merupakan golongan generasi muda adalah kritikal untuk dibina kefahaman dan jati diri Islam yang kukuh. Arus global dan asakan nilai barat serta faham sekularisme hanya dapat dibendung jika pelajar di IPT dapat dididik dengan kefahaman dan penghayatan hidup Islam yang menyeluruh.
Pihak KPT perlu perkukuhkan perlaksanaan pendidikan Islam di semua IPT dari segi kurikulum, kaedah pengajaran dan pembelajaran serta kegiatan kokurikulum yang menyokong pembinaan sahsiah pelajar.
Kami juga menggesa langkah diambil oleh KPT supaya kandungan pendidikan Islam di IPT yang kini menjalani proses pengurangan dan perubahan, jika tidak dibendung, pasti akan bernatijah pendidikan Islam akan dipinggirkan. Oleh itu kami menegaskan ia perlu dikembalikan kepada status asal seperti yang diperkenalkan pada 1984.
Kandungan pendidikan Islam yang berkait dengan memahami konsep akidah, maqasid syariah, akhlak, hukum hakam, ibadah dan muamalah dalam Islam perlu dikekalkan. Soal isu tamadun Islam dan ehwal kontemporari harus melengkapi pendidikan Islam agar ia menjadi releven dalam kehidupan dan cabaran semasa.
Matlamat kursus pendidikan Islam dan pendidikan moral diperkenalkan di IPT adalah untuk membina sahsiah pelajar berasaskan nilai Islam dan moral. Bermakna pendidikan berasaskan nilai sangat perlu diperkukuhkan (Value Base Education) dalam sistem pendidikan di IPT.
Kami menggesa Menteri Pelajaran dan Menteri Pendidikan Tinggi yang bakal dilantik selepas PRU-15 hendaklah melaksanakan mandate mengukuhkan pendidikan Islam di semua peringkat.
Kami menuntut agenda pendidikan Islam menjadi agenda terpenting diperjuangkan oleh semua Ahli Parlimen Islam.
Kesepakatan dan kemahuan politik yang jelas perlu dizahirkan oleh semua ahli politik Muslim demi mempertahan dan memperkukuhkan sistem pendidikan Islam negara.
Mohd Azmi Abdul Hamid
Presiden MAPIM
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my