Perang Gaza: 30,000 Tentera Rejim Israel Dirawat Untuk Kesihatan Mental
JERUSALEM, 29 Februari 2024 – Kira-kira 30,000 tentera rejim Israel telah menghubungi talian kesihatan mental sejak tercetusnya peperangan di Gaza pada 7 Oktober tahun lalu, menurut laporan sebuah agensi berita antarabangsa yang memetik kepada sumber tentera.
Jelas laporan tersebut, kenyataan tentera menyatakan bahawa sekitar 85 peratus yang mendapatkan rawatan psikologi telah kembali bertugas.
Manakala, kira-kira 200 tentera telah dikeluarkan dari tentera disebabkan masalah psikologi yang mereka alami akibat daripada peperangan, tambahnya.
Menurutnya lagi, Kor Perubatan tentera rejim haram Israel turut merancang untuk merasmikan pusat kesihatan mental yang baharu untuk para tentera oleh kerana bimbang para tentera mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) akibat perang Gaza.
Pengeboman rejim haram aparteid Israel ke atas Gaza sehingga kini telah membunuh hampir 30,000 rakyat Palestin serta mencederakan lebih 70,000 yang lain dengan kemusnahan besar-besaran diikuti dengan kekurangan barangan keperluan.
Negara haram itu juga turut dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mana keputusan sementara telah mengarahkan Israel untuk menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai serta mengambil langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan disalurkan kepada orang awam di Gaza.