Perang Di Syria Antara Punca Wabak Kolera Merebak – PBB
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SYRIA, 14 September 2022 – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran mengenai ancaman serius wabak kolera kepada penduduk Syria dan wilayah yang lebih luas, lapor agensi berita antarabangsa.
Menurut Penyelaras Residen dan Kemanusiaan PBB, Imran Riza, wabak itu dipercayai menular disebabkan kebanyakan penduduk bergantung kepada sumber air yang tidak selamat diikuti kemusnahan infrastruktur air negara itu disebabkan perang yang berlaku lebih daripada sedekad.
Lapor agensi berita tersebut, wilayah Aleppo merekodkan sekurang-kurangnya 70 peratus daripada 936 kes pada 25 Ogos hingga 10 September. Manakala wilayah timur Deir Az Zor merekodkan lebih 20 peratus kes dan kes-kes lain direkodkan berlaku di Raqqa, Hassakeh, Hama dan Latakia.
Pengarah Kecemasan Serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di wilayah Mediteraanean Timur, Richard Brennan berkata, lapan kematian disebabkan wabak itu telah direkodkan WHO sejak 25 Ogos mencatatkan enam kematian di Aleppo dan dua di Deir Az Zor.
“Ini adalah wabak kolera pertama dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Penyebarannya secara geografik telah menimbulkan kebimbangan dan oleh itu kami perlu bertindak dengan segera,” katanya.
Kata Brennan, keadaan menjadi bertambah buruk disebabkan kemarau yang mengakibatkan penurunan paras air Sungai Efrat.
“Kita perlu meningkatkan pengawasan dan kapasiti ujian. Usaha sedang dijalankan untuk menghantar air bersih kepada komuniti yang paling terjejas,” katanya.