Penyakit Yang Dihidapi Sebahagian Penerbit Dan Pengarah Filem
Apakah gerangan “penyakit”yang telah menyerang segelintir penerbit dan pengarah (PnP) filem tempatan sejak kebelakangan ini?
Ia adalah virus 2 + 1 yakni “minda terjajah dan jiwa memberontak”!
Sekiranya penyakit itu singgah di tubuh badan PnP yang bukan-Islam, ia tidak menghairankan kerana mereka tidak ada kawalan moral (moral compass) yang akan menapis skrip, tema atau jalan cerita yang hendak dipersembahkan kepada para penonton. Ini dalam konteks filem-filem yang menonjolkan eksploitasi wanita, ajaran agama, unsur ghaib dan tahyul serta identiti gender.
Kita boleh tanyakan: Dari sekian banyak tema dan jalan cerita yang boleh digarap dan diangkat tema dan jalan cerita tentang isu-isu keharmonian rumah tangga dan kepentingan institusi kekeluargaan, tentang ketinggian adab dan akhlak insan, tentang sejarah dan patriotisme, tentang kemuliaan wanita dan motivasi generasi muda … kenapa tema-tema tentang kesesatan, kemurtadan dan eksploitasi wanita yang dipilih?
Kumpulan seperti ini akan menghasilkan karya-karya yang didorong oleh pengaruh hawa nafsu tetapi disucikan dengan istilah kebebasan berkarya, kreativiti seni, hak-hak peribadi dan kritik sosial. Mereka tidak akan mengaku bahawa hawa nafsulah yang mendasari dan membentuk “falsafah seni” mereka, yang hasil-hasil falsafah hawa nafsu inilah yang sedang menggoncang sendi-sendi masyarakat di dunia Barat hari ini.
Penyakit ini juga telah dan sedang menimpa sebahagian para penerbit, sutradara, penulis skrip dan juga para pelakon beragama Islam. Realiti mereka lebih dahsyat dan menggerunkan kerana apabila hawa nafsu telah menguasai hati dan pemikiran mereka, mereka akan menzahirkan “pemberontakan” terhadap nilai-nilai agama Islam melalui skrip, arahan dan juga lakonan mereka.
Tidak ada lagi kompas akidah yang mengawal dan menapis apa yang akan dihasilkan melalui filem-filem mereka. “Pemberontakan” terhadap “campur tangan agama (Islam)” akan dizahirkan melalui skrip dan plot yang dipersembahkan, tanpa rasa khuatir atau peduli terhadap apakah kesannya nanti ke atas pemikiran, jiwa dan psikologi penonton.
Kumpulan ini yang terdiri dari 4 kategori manusia seni – Penulis, Pengarah, Pelakon dan Penerbit (4P) tidak akan ambil kisah sama ada filem yang dihasilkan nanti melanggar adab, akhlak, akidah dan sensitiviti umat Islam dan bangsa Melayu, yang secara umumnya membentuk kumpulan penonton yang paling ramai.
Kumpulan 4P ini ebih mementingkan pulangan pelaburan dan juga keuntungan yang bakal diraih dan sudah tentu ia didorong oleh formula ekonomi iaitu tawaran dan permintaan. Sekiranya faktor ini yakni keuntungan boleh dicapai melalui unsur-unsur yang sensitif dan kontroversi, mereka akan melakukannya juga, meskipun dengan melanggar tatasusila, adab, agama dan bantahan orangramai.
Sekiranya matlamat untuk mendapat keuntungan itu tersekat kerana halangan birokrasi atau agensi pengawal, mereka akan mencuba melalui medium lain yang di luar kawalan dan kuasa pihak-pihak berkenaan. Kumpulan 4P ini yakin bahawa filem songsang dan sesat mereka akan tetap ditonton juga oleh kerana ada satu golongan lain yang akan “menjayakan” filem-filem mereka yakni Penonton (P Kelima).
Apabila penyakit “minda terjajah dan jiwa memberontak” ini turut dihidapi oleh para penonton, khususnya dari kalangan generasi muda, maka potensi filem ini untuk mengaut keuntungan sudah boleh dijangka. Lebih-lebih lagi kalau ia dipromosikan oleh gerombolan puak liberal, millennial dan penggiat industri filem tempatan yang sangat fobia dengan pengaruh dan kawalan agama dan moral ke atas industri ini.
Justeru itulah umat Islam dan bangsa Melayu yang sedar perlu konsisten dan bertegas untuk terus mendedahkan agenda sesat yang dibawa oleh filem-filem sesat yang cuba mempengaruhi minda dan jiwa penonton, membongkarkan agenda jahat yang mengeksploitasi wanita, menggagalkan percubaan untuk bernormalisasi dengan ideologi liberal, feminisme, seks songsang (L*BT) dan juga meracuni generasi muda supaya menjadi murtad sama ada secara halus mahupun terang-terangan.
Inisiatif dan usaha ini boleh digerakkan melalui petisyen, memorandum, penulisan, desakan kepada pemimpin negara, Imam masjid dan surau, wakil rakyat, Menteri, kementerian, agensi, jabatan dan juga NGO-NGO supaya sama-sama bangkit bersuara dan menzahirkan bantahan dan tuntutan.
Tidak salah untuk mengambil semua tindakan ini selagimana mematuhi undang-undang. Sebab ini memang hak dan kewajipan bagi setiap individu Muslim dan juga umat Islam secara kolektif.
Alasan dan hujah-hujah: Jangan jadi polis moral, kreativiti seni tidak boleh dihalang, fokus pada hati, bukan anti-agama Islam, lakonan saja – be open minded la, jangan menghakimi orang lain, agama jangan masuk campur, saya cuma ikuti kehendak skrip dan pengarah dan akidah saya tidak terjejas atau kami adalah insan seni dan seumpamanya sudah basi dan tidak relevan lagi.
Masyarakat Islam umumnya sudah muak dengan hujah-hujah mempertahankan unsur-unsur kesesatan di dalam pembikinan filem, atau permohonan maaf dari kumpulan 4P ini atau kaku dan dayusnya pihak-pihak yang berkepentingan untuk menghentikan ancaman seperti ini. Ini bukan kali pertama dan pastinya akan berulang lagi.
Selagimana terdapat sebarang unsur untuk menyesatkan umat Islam, meracuni akidah mereka, menghina dan menjatuhkan maruah wanita, mempersendakan agama Islam dan mengajar para penonton supaya membenci Islam atau memberontak terhadap ikatan agama, maka selagi itulah akan ada suara yang akan mewakili kebimbangan umat dan bangsa.
Sekiranya kamu mendakwa kamu mempunyai kebebasan untuk bikin filem, maka kita juga ada kebebasan untuk mengkritik, membantah dan melawan.
(Nota: Semua gambar diperolehi daripada carian umum internet).
Pautan Asal: FB Lutfi
Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan samudera.my