Pengganas Kulit Putih Ugut Bunuh Para Jemaah Masjid Kanada
Jangan lupa sertai Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KANADA, 06 September 2021 – Sebuah masjid di Kanada terpaksa meningkatkan kawalan keselamatan di tempat ibadah itu selepas menerima surat ugutan dari pengganas pelampau kulit putih, Ku Klux Klan.
Pusat Islam Langley menjadi gempar setelah menerima surat yang penuh dengan ancaman itu pada 26 Ogos baru-baru ini.
Surat itu, ditulis dengan abjad-abjad yang dikerat dari surat khabar, mengandungi slogan kebencian dan merujuk kepada Brenton Tarrant, pengganas pelampau kulit putih yang telah membunuh 51 orang jemaah masjid di Christchurch, New Zealand pada Mac 2019 lalu.
“Kamu ada dua bulan untuk tutup tempat ini dan berambus atau aku akan jadi seperti Tarrant pada kamu mudslimes,” tulis pentaksub itu. “Penceroboh patut mati.”
“Surat ini adalah berniat untuk menggertak ahli jemaah Muslim di Langley,” menurut kenyataan dari Pusat Islam Langley.
“Surat itu secara jelas merujuk kepada serangan ke Masjid Christchurch. Kami sudah pun membuat laporan ke pihak berkuasa, dan kami mendesak insiden ini disiasat dari sudut bermotif kebencian.”
Imam masjid tersebut, Imam Fawad Kalsi berkata, ahli jemaah masjid berasa “jijik dan terkejut” apabila mereka terjumpa surat itu.
“Saya tak rasa orang percaya kita hidup dalam dunia di mana benda-benda sebegini masih lagi wujud. Ada yang kecewa, ada yang marah.”