Pengasas Amazon Disaman Oleh Bekas Pekerja
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
WASHINGTON, 04 November 2022 – Jeff Bezos, pengasas Amazon dan syarikat pengurusan hartanya disaman oleh bekas pembantu rumahnya, Mercedes Wedaa kerana didakwa tidak menyediakan persekitaran yang selamat dan sihat buat pekerjanya.
Menurut Wedaa, sepanjang menjalankan tugas sejak 2019, beliau berhadapan dengan diskriminasi kaum oleh kakitangan lain dan terpaksa bekerja antara 10 hingga 14 jam sehari.
Jelasnya, beliau dan kakitangan pembersihan Hispanik yang lain dilayan dengan buruk berbeza dengan kaum lain.
Bukan itu sahaja, beliau juga mendakwa tidak diberi makan atau rehat yang mencukupi, tiada ruang rehat atau kawasan rehat yang ditetapkan, dan tiada bilik mandi yang mudah diakses.
“Wedaa dan pembantu rumah lain dilarang menggunakan tandas di bilik keselamatan berdekatan, yang mengakibatkan pekerja memanjat keluar tingkap bilik dobi untuk mengakses bilik mandi,” dakwanya dalam tuntutan mahkamah, yang difailkan pada hari Selasa di Mahkamah Tinggi King County di Seattle.
Kesannya, Wedaa dan pembantu rumah lain sering mengalami jangkitan saluran kencing kerana mereka tidak boleh menggunakan tandas secukupnya.
Katanya, beliau akhirnya dipecat selepas membuat aduan tentang keadaan kerja dan tingkah laku diskriminasi yang dialaminya.
Sebagai respon terhadap dakwaan, Harry Korrell, peguam kepada Bezos dan defendan lain, termasuk Zefram dan Northwestern, dua syarikat yang menguruskan kepentingan dan hartanah Bezos, berkata Wedaa dipecat kerana isu prestasi, bukan kerana dakwaan yang dinyatakan.
“Kami telah menyiasat tuntutan itu, dan mereka tidak mempunyai merit,” kata Korrell dalam satu kenyataan melalui e-mel.
Beliau berkata bahawa Wedaa membuat lebih daripada enam angka setiap tahun dan terdapat beberapa bilik mandi dan bilik rehat yang disediakan untuknya dan kakitangan lain.