Tempatan

Penduduk Kuala Langat Mangsa Longgokan ‘e-waste’, Sering Bau Tengik

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini. 

KUALA LANGAT, 12 Disember 2022 – Selepas bebas dari panggilan ‘tong sampah besar’ akibat aktiviti pembuangan sisa plastik dari industri berdekatan, kini penduduk Kuala Langat menjadi mangsa longgokan e-waste pula, sekali gus dihidangkan dengan bau tengik.

Ini adalah disebabkan oleh aktiviti pelupusan peranti elektronik seperti komputer, telefon, tablet, serta bateri yang salah, kongsi wakil penduduk Kuala Langat yang juga memaklumkan pada Ogos 2020 lalu, penduduk Kuala Langat mula mengesan bau plastik dan logam terbakar menyelubungi kawasan itu, lalu mendapati terdapat sisa elektronik bertaburan di tepi jalan.

“Kami telah menemui wayar, kad SD, dan juga papan induk komputer dilonggokkan.”

Tambah beliau, apabila sisa tersebut dilupuskan dengan cara yang salah, e-waste boleh memberi kesan buruk kepada alam sekitar dan kesihatan manusia kerana komponen elektronik itu mengandungi bahan berbahaya seperti plumbum atau bahan kalis api.

Wakil tersebut yang mendakwa ianya adalah perbuatan kilang di Kuala Langat dan Pelabuhan Klang berkata, longgokkan e-waste itu seperti baja dan berbau, serta ia boleh dijumpai banyak dilonggokkan di Kuala Langat terutamanya di sekitar Jenjarom hingga Pulau Carey.

Dalam pada itu, seorang penduduk Jenjarom memaklumkan pernah membuat laporan kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) susulan menemui timbunan sampah elektronik yang dibakar secara terbuka.

MPKL telah mengambil tindakan membersih sampah tersebut dan menegaskan akan memasang CCTV sekiranya aktiviti tersebut masih berulang, selain memaklumkan telah mengalihkan sembilan tapak pelupusan sampah elektronik haram dan merampas 55 kenderaan yang terlibat dalam pengangkutan sampah tersebut.

Walau bagaimanapun, menurut Pengarah Jabatan Korporat Dan Pembangunan Masyarakat Hashila Hamzah, pihaknya tidak mempunyai kuasa kerana hanya pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh mengambil tindakan terhadap sebarang aktiviti kitar semula secara haram itu.

Tambah Hashila Hamzah, pihaknya mengambil maklum perkara tersebut dan bersedia membantu pihak JAS menangani isu ini.

Sehubungan itu, penduduk Jenjaram tersebut mendapatkan pihak JAS, malangnya jabatan tersebut tidak dapat dihubungi.

Kini, penduduk dalam kebimbingan terutamanya dari aspek kesihatan kerana Kuala Langat berkemungkinan akan terus menjadi pusat kitar semula secara haram kerana lokasinya berdekatan dengan Pelabuhan Klang, pelabuhan terbesar di negara ini.

Beliau juga memaklumkan seorang penduduk yang membuat laporan kepada pihak berkuasa berkenaan isu ini telah menerima kunjungan daripada pemilik kilang sehingga menyebabkan tiada sesiapa lagi yang berani membuat laporan.

“Jika mereka terus menutup mata terhadap lambakan haram ini, maka pihak tersebut akan tetap terus melakukan amalan yang menyalahi undang-undang ini, (dan keadaan) akan menjadi lebih buruk dan lebih buruk setiap tahun. Saya tidak meminta banyak tetapi tolong, dengar cakap kami! Rumah kami perlahan-lahan menjadi persekitaran yang berbahaya.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: