Tempatan

Pembalakan Dibatalkan, Wartakan Bukit Makro Hutan Simpan Kekal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

MARAN, 26 Februari 2022 – Penduduk Maran menuntut kerajaan negeri membatalkan sebarang lesen permohonan pembalakan hutan di Bukit Makro di samping mewartakan kawasan tersebut sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

Menurut Utusan Malaysia, seorang suri rumah, Saadiah Md. Pilus berpendapat bahawa tindakan membatalkan lesen pembalakan di kawasan tersebut adalah langkah yang tepat dan perlu disambut baik masyarakat setempat.

“Bila dapat berita tentang Hutan Bukit Makro akan dijadikan tempat pembalakan kita tidak setuju, sebab sebelum ini Maran sudah berdepan banjir teruk disebabkan pembangunan. Saya akui kita tidak boleh tolak pembangunan, tetapi pembangunan tidak dirancang boleh memberikan kemudaratan kepada penduduk.”

“Jadi, kalau boleh memang hendak Hutan Bukit Makro diwartakan sebagai HSK, ini kerana lokasinya di kawasan bandar,” katanya.

Penduduk setempat yakin tindakan tersebut akan mengekalkan kelestarian alam semula jadi bukan sahaja bagi kehidupan masyarakat setempat malah juga pada hidupan liar untuk jangka masa panjang.

Di samping itu, Bukit Makro juga berpotensi menjadi tumpuan orang ramai dan pelancong, khususnya pada hari hujung minggu ia menjadi lokasi pilihan bagi aktiviti pendakian. Ekoran daripada itu, penduduk mencadangkan agar Majlis Daerah Maran (MDM) memperindahkan lagi kawasan tersebut untuk keselesaan para pengunjung.

Seorang lagi penduduk, Mohd Zamberi Mohd Sham, 59, berkata,

“Kita akui balak ada nilai komersial, keuntungan pula diberikan kepada beberapa individu dan Kerajaan Negeri tetapi khazanah alam itu lebih menguntungkan rakyat dengan pelaksanaan projek pelancong yang dilakukan MDM.”

Tambahnya, jika kawasan tersebut tidak diwartakan, kegiatan yang sama pasti berulang lagi pada masa akan datang.

Sebelum ini, Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP), Datuk Mohd. Hizamri Mohd. Yasin mengesahkan pembatalan semua lesen pembalakan di kawasan hutan sekitar Bukit Makro dan aktiviti prapembalakan dihentikan serta-merta.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: