Pemakaian Prinsip Indian Basic Structure Adalah Perbuatan Derhaka – Dato’ Profesor Haji Mahamad Naser Disa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 22 September 2022 – Akidah Negara Sumpah Rabbani, Memelihara Islam Bai’ah Hifzuddeen. Kedua-dua Basic Principle ini adalah terkandung dalam Sumpah Ketua Tertinggi Negara, Yang di-Pertuan Agong (YDPA) menurut Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan,” tegas Hakim Rayuan (Panel Sivil) Mahkamah Rayuan Syariah Pahang, Dato’ Profesor Haji Mahamad Naser bin Disa.
Menurutnya, apabila Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah menaiki tahta sebagai the head of federation, sumpah Baginda bukan hanya untuk menegaskan prinsip watan Pahang, bahkan suatu penegasan prinsip Pemerintahan Persekutuan – Gabungan 13 Watan.
Jelasnya, Sumpah Rabbani ini adalah Constitutional Oath yang wajib dilafazkan oleh setiap Sultan atau Raja yang hendak memulakan tugas sebagai Ketua Tertinggi Negara (The supreme Head of The Federation).
Beliau berkata, sumpah ini wajib dilafazkan menurut teks Jadual Keempat kepada Perkara 37(1) Perlembagaan Persekutuan. Ikrar Sumpah Rabbani sebelum ini sudah pun dilafazkan oleh Baginda YDPA yang pertama iaitu Tuanku Abdul Rahman, Yamtuan Besar Negeri Sembilan.
Selanjutnya, ia wajib diulangi bagi setiap kali pertukaran Ketua Tertinggi Pemerintahan Negara. Jika Sumpah Rabbani ini tidak dilafazkan, pemerintahan Negara menjadi tidak sah dan semua tindakan mana-mana pihak yang terkait dengan pemerintahan Negara sama ada Eksekutif, Legislatif atau Judiciary menjadi tidak sah.
Beliau yang juga Profesor Industri di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu berkata, Sumpah Rabbani adalah kunci Kedaulatan Negara yang membawa maksud ikrar dan sumpah dengan nama suci Allah adalah sumber kedaulatan Negara – Sovereignty of Allah.
Justeru, sebarang usaha untuk menukar prinsip Sovereignty of Allah ini adalah melakukan suatu kesalahan Treason atau Penderhakaan di bawah Bab 6 Kanun Keseksaan.
Tambah beliau, antara usaha yang diketahui untuk mencetuskan penderhakaan ini adalah pemikiran yang menyifatkan Negara ini sebagai negara Sekular dan kedudukan Islam hanyalah sekadar agama rasmi sahaja.
“Ini adalah kerana antara perkara utama yang diikrarkan dalam Sumpah Rabbani ini adalah akujanji negara untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.”
Contoh perbuatan penderhakaan terhadap Sumpah Rabbani ini adalah pemakaian prinsip Indian Basic Structure ini yang impaknya adalah mengenepikan Perkara 121 dan 121 (1A) serta Butiran 1 Senarai Negeri Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.
Sedangkan, Sumpah Rabbani adalah komitmen tertinggi negara untuk mematuhi prinsip-prinsip Perlembagaan yang terkini dan diperkenankan oleh Baginda YDPA atau Majlis Raja-Raja.
“Akibat dari keengganan untuk taat setia kepada Sumpah Rabbani ini, maka banyak kes-kes yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan kebelakangan ini yang menerjah bidang kuasa Mahkamah Syariah sebagaimana yang termaktub dalam Butiran 1 Senarai Negeri.”
Menurut beliau lagi, tafsiran-tafsiran yang menyanggahi Butiran 1 ini juga melanggar Perkara 121 (1A) Perlembagaan dan Komitmen Sumpah Rabbani untuk memelihara Perlembagaan dan Agama Islam.
“Pendekatan sebegini adalah berpunca dari pemikiran Doktrin Basic Structure yang berasal dari India yang Perlembagaannya jelas menegaskan India adalah negara sekular!”
Wajarkah, Kehakiman tertinggi negara ini membelakangkan komitmen tertinggi Negara menerusi Sumpah Rabbani hanya kerana ingin mengikut prinsip sekular kehakiman India?
Salute to sahabat-sahabat yang bangkit menolak Doctrine Basic Structure. Tapi jangan sampai hasrat kita tolak Doktrin Basic Structure (BSD), kita tertolak juga Basic Principle iaitu Sumpah Rabbani (Sumpah YDPA atas nama suci Allah) untuk Hifzuddeen pada setiap masa di bawah Perkara 37(1) Perlembagaan.
Saya tidak pasti kenapa pakar-pakar Perlembagaan menggugurkannya semasa berhujah menentang BSD, tetapi pada pendapat saya, alasan paling utama pemakaian BSD ialah kerana Perlembagaan India bersifat sekular. Jangan terperangkap dalam lubang biawak! Jangan lupa Sumpah Rabbani yang jika rakyat Malaysia enggan terima, ia bersamaan dengan tindakan tidak setia.
Kita tidak boleh bertolak ansur untuk mempunyai para Hakim di peringkat tertinggi yang mempromosi ketidaksetiaan dan ketidakcintaan kepada YDPA yang tunduk kepada kedaulatan Allah. Mengikut Artikel 149, ini satu bentuk penderhakaan.