Pemaju Perumahan ‘Terlebih Janji’ Diarahkan Mahkamah Bayar Jutaan Ringgit Kepada Pembeli
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 05 November 2022 – Sebuah syarikat pembinaan, Wawasan Rajawali Sdn. Bhd. diarah membayar jutaan ringgit kepada pembeli selepas gagal menjanjikan ‘Dunia Anda Di Satu Tempat’ dalam risalahnya.
Pihak Mahkamah Tinggi membenarkan tindakan undang-undang tersebut diambil oleh 122 pembeli rumah di sebuah pembangunan di Cyberjaya terhadap syarikat berkenaan.
Menurut peguam, V. Rajadevan yang mewakili 122 pembeli tersebut berkata, Hakim Datuk Akhtar Tahir membenarkan saman itu setelah bersetuju dengan penghujahan pembeli rumah bahawa syarikat pembinaan itu menyalahgambarkan risalah bahawa projek berkenaan merupakan pembangunan bercampur yang terdiri daripada kediaman, hotel, pusat beli-belah dan taman namun ia tidak diberikan kepada pembeli rumah.
Berikutan itu, peguam berkata, Wawasan Rajawali yang juga anak syarikat milik OSK Property Holdings Sdn. Bhd. diarah untuk membayar RM50,000 kepada setiap pembeli rumah.
“Hakim turut memerintahkan ganti rugi kerana pemberian yang lewat berjumlah RM1,351,797 kepada pembeli yang terjejas. Ganti rugi kerosakan sebanyak RM2 juta turut diberikan kepada pembeli rumah. Wawasan Rajawali juga diarah untuk membaiki kerosakan di hartanah yang terjejas dalam tempoh tiga bulan dari hari ini,” kata peguam tersebut.
Menurut plaintif melalui tuntutan mereka berkata, pemaju tidak menunaikan janji yang dibuat dalam risalah yang diberikan kepada mereka sebelum mereka membeli unit tersebut.