Pelancong Negara Mpox Perlu Pantau Status Kesihatan Selama 21 Hari – KKM
PUTRAJAYA, 19 Ogos 2024 – Mana-mana pelancong yang tiba dari negara melaporkan Mpox atau cacar monyet perlu memantau status kesihatan kendiri setiap hari selama 21 hari dari tarikh tiba di Malaysia.
Memetik laporan akhbar, Kementerian Kesihatan Malaysia berkata, demikian antara pengukuhan aktiviti survelan dan advokasi berkaitan cacar monyet ekoran pengisytiharan penyakit itu sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) untuk kali kedua pada 14 Ogos lalu.
“KKM juga menasihatkan individu yang mempunyai sejarah aktiviti berisiko dan mempunyai gejala seperti ruam atau lepuh pada kulit segera menjalani pemeriksaan di fasiliti kesihatan berhampiran.”
“Ia termasuk mengelakkan kontak dengan individu lain bagi mengelakkan penularan jangkitan,” ujar kenyataan.
Tambahnya, semua pengamal perubatan fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta juga perlu memaklumkan segera mengenai kes disyaki dan disahkan Mpox kepada Pejabat Kesihatan Daerah berhampiran bagi memastikan langkah pencegahan dan kawalan dapat dilaksanakan.
“Bagi pengurusan kes Mpox pula, pengamal perubatan boleh merujuk kepada garis panduan Guidelines on Mpox Management in Malaysia 2023 di laman sesawang portal rasmi KKM,” jelasnya.
Pada masa sama, KKM mahu makmal pengujian dan diagnostik lebih bersedia, malah mereka akan mempertingkatkan aktiviti kesedaran Mpox dan edaran bahan pendidikan kepada kumpulan berisiko.