PEKA Cadang Kerajaan Sekat Facebook
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
SHAH ALAM, 25 Ogos 2022 – Pertubuhan Kebajikan Kemanusiaan Antarabangsa (PEKA) menyaran Kerajaan menyekat penggunaan laman media sosial Facebook seperti yang dilaksanakan beberapa negara lain.
Lapor media tempatan, Presiden PEKA, Datuk Seri Zuhairi Ab. Kadir berpendapat, sudah sampai masanya Kerajaan melaksanakan perkara sedemikian kerana penggunaan laman sosial itu banyak mendatangkan keburukan berbanding kebaikan.
Katanya, larangan penggunaan Facebook telah dilaksanakan di Arab Saudi, Rusia, Korea Utara, Bangladesh, Pakistan, Vietnam, China dan juga Jepun.
“Sesungguhnya, laman sosial ini boleh mencetuskan sesuatu isu sensitif sehingga sukar dikawal dan membawa kemusnahan yang besar.”
Beliau turut mengatakan bahawa banyak tulisan berunsur fitnah dan mengkritik dasar Kerajaan disebarkan sekali gus menimbulkan kemarahan ramai pihak. Selain itu, kehidupan masyarakat berbilang kaum di Malaysia juga mudah terganggu akibat kritikan perkauman yang boleh membawa pergaduhan sesama masyarakat.
Tambah Zuhairi, menerusi Facebook juga, unsur pornografi sama ada bahan bacaan, gambar dan video lucah turut tersebar dan mudah diakses oleh pengguna laman sosial itu.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan Kerajaan membenarkan penggunaan Facebook namun perlu dimohon dan didaftarkan beserta tujuan utama penggunaan laman sosial terbabit.
“Perlu ada rekod seperti konsep MySejahtera. Dengan cara ini, ia akan memudahkan pihak Kerajaan mengesan jika ada maklumat, berita atau apa sahaja unsur tidak baik yang disiarkan di Facebook.”
Beliau juga mengatakan bahawa PEKA akan menghantar petisyen kepada Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob supaya cadangan ini dapat diluluskan dan dilaksanakan.