Pejabat Kadi Segamat Buka Pusat Pandu Lalu, Kumpul Naskhah Al-Quran Musnah Banjir
SEGAMAT, 08 Mac 2023 – Susulan bencana banjir yang melanda, Pusat Kadi Daerah membuka dua pusat pandu lalu bagi mengumpulkan naskhah al-Quran serta buku agama yang musnah akibat bencana tersebut.
Menurut Kadi Segamat, Mohamad Hamizan Sayuti, bukan sahaja harta benda, malah bencana banjir yang melanda turut memberi kerosakan kepada naskhah al-Quran serta buku agama di masjid, surau, sekolah, pusat tahfiz dan rumah persendirian.
“Justeru, kita menetapkan dua pusat pengumpulan pandu lalu di dua lokasi berhampiran lokaliti terjejas banjir iaitu Masjid Labis dan Masjid Bandar Segamat,” katanya sewaktu ditemui di Pusat Pelupusan al-Quran di Masjid Taman Yayasan Segamat, semalam.
BACA JUGA: Selepas Menu Rahmah, Kerajaan Bakal Pertimbang Pasar Raya Rahmah
BACA JUGA: Moratorium Sehingga Enam Bulan Kepada Mangsa Banjir – PM
BACA JUGA: Kaji Semula Cuti Sakit: Kita Manusia, Bukan Mesin – J Solomon
Beliau berkata, usaha ini selaras dengan tanggungjawab pihaknya bagi memelihara kesucian ayat al-Quran.
Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak terutamanya umat Islam untuk menghantar naskhah al-Quran mahupun buku agama yang mengalami kerosakan ke pusat berkenaan dan ia tidak melibatkan sebarang bayaran.
Dalam kenyataan yang sama, beliau mengatakan bahawa aktiviti pelupusan tersebut akan tetap dijalankan sekiranya masih terdapat permintaan daripada penduduk dan keperluan semasa.
“Pejabat Kadi akan bekerjasama dengan petugas di lokasi pengumpulan bagi menguruskan pengangkutan semua naskhah itu sehingga ke pusat proses pelupusan dilaksanakan,” ujarnya.