Op Lancar Jalan Persekutuan Ipoh-KL: Polis Tidak Teragak-Agak Keluar Saman
SLIM RIVER, 18 April 2023 – Susulan pelancaran Op Lancar di Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur hari ini, pihak polis bertegas tidak akan teragak-agak mengeluarkan saman bagi pemandu yang gagal mematuhi peraturan jalan raya.
Menurut Ketua Polis Daerah Muallim, Superintendan Mohd Hasni Mohd Nasir, Op Lancar dijalankan selama dua hari bermula hari ini hingga esok bagi memastikan aliran trafik jalan persekutuan dari Tanjung Malim ke Trolak bergerak lancar.
Katanya, polis akan memberi tumpuan utama di susur keluar masuk Plaza Tol Behrang dan Plaza Tol Slim River malah akan menempatkan seorang pegawai bersama 8 anggota di kawasan tersebut.
BACA JUGA: Bekalan Air Capai Paras Maksimum, Rakyat Diminta Simpan Air Raya Ini
BACA JUGA: Cuaca Panas: Kementerian Sumber Asli Nasihat Orang Ramai Jimat Penggunaan Air
BACA JUGA: Azan Maghrib 5 Minit Awal, Pengurusan Masjid Ar-Rahimah Mohon Maaf
Pihaknya menjangkakan kesesakan bermula esok ekoran cuti sekolah yang sudah bermula dan pengguna lebuh raya akan menggunakan kedua-dua susur keluar masuk tol terbabit.
Tambahnya, operasi itu juga dilaksanakan di kawasan simpang jalan termasuk di zon pertukaran lorong Plaza Tol Slim River yang dikenal pasti menyebabkan kesesakan aliran trafik.
Jelas beliau, pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) agar lampu isyarat ‘amber’ di kawasan lampu isyarat depan Balai Polis Behrang dan susur keluar masuk dekat Plaza Tol Slim River.
“Pihak polis juga telah mengenal pasti kawasan lokasi hotspot termasuk di persimpangan U-Turn Kampung Kelawar, simpang FELDA Trolak berhampiran Maktab Rendah Sains Mara FELDA (MRSMF) Trolak dan simpang FELDA Sungai Behrang serta jalan Proton City.”
Mengulas lanjut, Mohd Hasni telah mengarahkan semua anggota polis trafik memantau lokasi terbabit secara berkala dan mengharapkan semua pemandu patuh kepada arahan anggota polis bertugas sekali gus memandu secara berhemah agar selamat sampai ke destinasi masing-masing.