NGO Berlagak Agen Polis Jual Kad Kebal Ditahan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 28 Oktober 2022 – Sebuah NGO dikesan telah menyalahgunakan logo Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan memberi layanan istimewa seperti tidak ditahan ketika sekatan jalan raya bagi memujuk orang ramai menyertai pertubuhan tersebut.
NGO berkenaan menggunakan kesemua logo tersebut dan dipaparkan pada kad keahlian, emblem kenderaan, pelekat kenderaan dan baju pertubuhan terbabit, lapor media tempatan.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai memaklumkan, kegiatan itu terbongkar apabila seorang individu tampil membuat laporan polis selepas mengalami kerugian besar.
“Polis menerima laporan daripada individu terbabit yang mendakwa kerugian RM17,000 kerana ditawarkan untuk menjual meja sempena majlis makan malam yang akan dianjurkan.”
“Mangsa mendakwa jika ingin menjadi ahli pertubuhan terbabit, bayaran RM2,200 sebagai yuran dikenakan dan akan mendapat pelbagai layanan istimewa termasuk tidak akan ditahan ketika sekatan jalan raya,” katanya dalam satu sidang media.
Susulan laporan itu, polis menahan lima lelaki pada 22 hingga 25 Oktober lalu bagi membantu siasatan.
“Mereka yang berusia 32 hingga 57 tahun ditahan di sekitar Lembah Klang. Hasil penahanan, polis merampas 19 baju-T, 15 topi, 143 pelekat kenderaan, 20 emblem kenderaan, lapan kad pelbagai jenis dan acuan cetakan.”
Semakan rekod lampau mendapati seorang daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan menyamar sebagai penjawat awam.
Dua suspek direman pada 25 Oktober lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 89 Akta Polis 1967 dan Seksyen 50(3) Akta Pertubuhan 1966 manakala tiga lagi suspek dibebaskan bagi tujuan saksi pendakwaan.”