NATO Pimpinan AS Cetuskan Ketegangan Di Laut China Selatan – Rusia
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
MOSCOW, 03 Disember 2022 – Menteri Luar Rusia, Sergey Lavrov mendakwa Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) mencetuskan ketegangan berhampiran China dengan cara yang menimbulkan risiko kepada Rusia.
“Laut China Selatan kini menjadi salah satu wilayah di mana NATO juga mahu campur tangan, seperti yang pernah mereka lakukan di Ukraine, sekali gus meningkatkan ketegangan,” ujarnya menurut laporan antarabangsa.
Jelasnya, hakikat bahawa anggota NATO di bawah pimpinan Amerika Syarikat cuba mencipta situasi yang menegang di sana, selepas Eropah, amat difahami oleh semua orang.
“Kami tahu betapa seriusnya China melihat provokasi sedemikian, terutama di Taiwan serta Selat Taiwan, dan kami mendapati tindakan NATO ‘bermain api’ di kawasan ini turut membawa ancaman serta risiko untuk Persekutuan Rusia,” katanya lagi.
Walau bagaimanapun, Lavrov tidak memberikan bukti untuk menyokong dakwaannya, tetapi merujuk kepada pembentukan pakatan AUKUS, pakatan keselamatan antara Australia, United Kingdom, dan Amerika Syarikat.
Kerana itulah, katanya lagi, Rusia juga membangunkan kerjasama ketenteraan dengan China dan tidak menolak kemungkinan menyertai latihan ketenteraan bersama China di Laut China Selatan.
Terdahulu, samudera.my melaporkan, bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev, menyatakan bahawa Kesatuan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) telah mengakui penglibatan mereka dalam peperangan antara Rusia dan Ukraine.
Menurut ciapannya di media sosial, beliau memetik sebuah kenyataan oleh Ketua Setiausaha NATO, Jens Stoltenberg, yang disifatkannya sebagai sebuah pengakuan secara tidak langsung bahawa NATO sudahpun melibatkan diri dengan peperangan tersebut.