Muslim Haram Sambut Upacara Keagamaan Lain Agama, MAINJ Keluar Fatwa
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JOHOR BAHRU, 03 Februari 2023 – Fatwa Orang Islam Hadir Ke Upacara Ritual Perayaan Penganut Agama Bukan Islam bakal diwartakan oleh Kerajaan Negeri dalam masa terdekat.
Memetik kepada sebuah portal berita tempatan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri, Mohd Fareed Mohd Khalil berkata fatwa tersebut telah pun mendapat perkenan daripada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.
Menurut beliau, fatwa tersebut adalah sebagai garis panduan buat umat Islam di negeri ini sebelum menyertai sesuatu majlis melibatkan perayaan agama bukan Islam.
BACA JUGA: Saudi Seru Semua Bertanggungjawab Tamatkan Pendudukan Israel
BACA JUGA: Sejarah Hak Perlembagaan Negeri-Negeri Melayu & Orang Melayu-Prof. Shamrahayu
BACA JUGA: Rancang Bom Makam Habib Noh, Remaja Ditahan ISA
“Melalui pemerhatian kita dan selain mendapat makluman daripada orang awam, seperti sudah menjadi kebiasaan dalam mana-mana perayaan penganut agama bukan Islam yang dihadiri atau turut diraikan umat Islam,”
“Oleh itu, menjadi tanggungjawab Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) untuk membuat satu ketetapan daripada kebiasaan itu lebih berleluasa dan ini sebagai usaha kita untuk meningkatkan kefahaman tentang agama Islam,” jelasnya.
Katanya, fatwa itu akan dibawa ke Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) minggu hadapan bagi mendapatkan kelulusan sebelum diwartakan.
Berdasarkan lampiran garis panduan yang turut disertakan dalam fatwa ini, beberapa kriteria yang utama perlu diambil kira sebelum perayaan bukan Islam itu boleh dihadiri oleh orang Islam.
Antaranya, majlis tersebut haruslah tidak disertakan dengan upacara-upacara yang bertentangan dengan akidah islam seperti menyanyikan lagu-lagu bercirikan agama atau menyertakan simbol-simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin atau pokok krismas.
Malah, majlis itu juga haruslah tidak disertakan dengan perbuatan yang bertentangan dengan syarak seperti menghidangkan minuman atau makanan yang memabukkan.
Bagaimanapun, fatwa itu mengatakan bahawa hukum meraikan undangan atau jemputan ke majlis sempena perayaan bukan Islam tanpa melibatkan upacara ritual keagamaan adalah harus dan dibenarkan dengan syarat pihak penganjur haruslah sentiasa peka dan memastikan sensitiviti umat Islam dihormati selaras dengan agama Islam sebagai agama persekutuan dan agama bagi negeri Johor Darul Ta’zim.