Muslim Dan Kristian Akan Kerjasama Dengan Militan Hindu
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KARNATAKA, 27 Mac 2022 – “Seluruh Muslim dan Kristian di negara India akan bekerjasama dengan Rashtriya Swayamsevak Sangh (RSS) suatu hari nanti,” dakwa Menteri Karnataka merangkap pemimpin kanan Bharatiya Janata Party (BJP), KS Eshwarappa.
Kenyataan tersebut dikeluarkannya apabila speaker Vishweshwar Hegde Kageri menggunakan istilah ‘RSS kami’ dalam satu perbincangan di Dewan Perundangan Khamis baru-baru ini.
“Harinya tidak lama apabila semua orang perlu menerima bahawa RSS itu adalah RSS ‘kami’,” ujar Kageri.
RSS bukan sahaja merupakan sebuah organisasi nasionalis Hindu, tetapi didakwa sebagai militan berhaluan kanan di India.
Menurut India Today, isu ini bermula apabila Siddaramaiah, seorang ahli politik berbahas mengenai situasi undang-undang dan ketenteraman di Karnataka. Dalam ucapannya, Siddaramaiah menyebut mengenai kepentingan mengekalkan sikap hormat antara satu sama lain, tanpa mengira latar belakang ideologi politik seseorang.
Selain itu, Siddaramaiah turut mengheret RSS dalam perbincangan mereka sehingga menjadikan perbincangan tersebut semakin hangat.
“Kamu adalah manusia yang baik. Itu yang penting. Malah saya adalah manusia yang baik. Sama ada kamu tergolong dalam BJP atau RSS, datang kemudian,” kata Siddaramaiah kepada Menteri Hasil, R Ashoka.
“Mengapa kamu menentang RSS kami?” soal Kageri.
Zameer Ahmed Khan, seorang lagi ahli politik India membantah Kageri yang menyebut ‘RSS kami’ seperti wakil RSS semasa menduduki kerusi speaker yang dijangka bersifat partisan.
“Sudah tentu, ia adalah RSS ‘kami’. Apa lagi yang boleh? Lambat laun kamu juga perlu memanggilnya RSS kamu,” tegas Kageri mempertahankan kenyataannya.
R Ashoka turut berkata sama ada suka atau tidak, semua jawatan politik tertinggi diduduki oleh pemimpin milik RSS. Eshwarappa pula menambah kontroversi dengan mengatakan keterlibatan Muslim dan Kristian dalam RSS akan berlaku tidak lama lagi.
Terdahulu, pada tahun 2014, RSS membuat perancangan program ‘Ghar Wapsi’ bertujuan untuk menukar sekurang-kurangnya 4,000 keluarga Kristian dan 1,000 keluarga Muslim kepada agama Hindu.