Tempatan

Mpox: China Perketat Pengawasan

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

SELASA, 20 Ogos 2024 – Pihak berkuasa China meningkatkan pengawasan bagi menghalang virus monkeypox (mpox) daripada memasuki negara itu.

Menurut laporan, pada Jumaat lalu, Pentadbiran Am Kastam negara itu mengumumkan langkah pengawasan yang lebih ketat untuk orang ramai dan barangan yang tiba dari kawasan yang terjejas oleh mpox.

Pengembara yang menunjukkan simptom seperti demam, sakit kepala, sakit otot atau ruam turut dikehendaki melaporkan keadaan mereka semasa masuk.

Selain itu, kenderaan dan barangan yang tercemar atau berpotensi tercemar akan menjalani prosedur sanitasi mandatori.

Kata laporan tersebut, langkah-langkah ini yang berkuat kuasa pada 15 Ogos, akan kekal selama enam bulan.

Baru-baru ini, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan mpox sebagai kecemasan kesihatan awam global kerana penularannya di luar kawasan endemiknya di Afrika.

Mpox ialah penyakit virus yang menyebabkan luka pada kulit dan dipenuhi nanah, bersama-sama dengan gejala seperti selesema dan nodus limfa yang bengkak.

Kebiasaannya, ia merebak melalui hubungan fizikal yang rapat dan walaupun penyakit ini secara amnya ringan, ia kadangkala boleh membawa maut.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: