MP DAP Kritik ‘Pematuhan Ketat’ Kod Pakaian Di Pejabat Kerajaan
KUALA LUMPUR, 14 Mac 2023 – Ngeh Koo Ham (PH-Beruas) menegaskan tiada sesiapa pun boleh didiskriminasi daripada menerima perkhidmatan Kerajaan berdasarkan cara mereka berpakaian.
Ngeh yang juga merupakan MP DAP mendakwa penguatkuasaan etika berpakaian secara berlebihan di bangunan Kerajaan adalah melanggar pekeliling yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Kerajaan pada 2020.
BACA JUGA: Fokus Kebajikan Guru KAFA, Bukan Fitnah – Zulkifli Yahya
BACA JUGA: Kerajaan Mahu Banteras Miskin Tegar Menjelang 2025
BACA JUGA: “Jom Ziarah Gereja”: Ketua Pemuda UMNO Tidak Teragak-Agak Halang Program
“Malangnya, sejak akhir-akhir ini, pekeliling ini tidak diendahkan. Terdapat banyak aduan mengenai tidak dapat membuat laporan polis, menerima rawatan hospital atau berurusan dengan Suruhanjaya Syarikat (kerana peraturan berpakaian).”
“Ini adalah satu bentuk diskriminasi terhadap wanita, fakir miskin, pesakit, buruh, Orang Asli dan lain-lain, hanya kerana etika berpakaian,” kritiknya.
Tegasnya, pegawai Kerajaan telah salah tafsir pekeliling dan prinsip kelima Rukun Negara ‘kesopanan dan kesusilaan’.
“Rukun Negara adalah prinsip yang menyatupadukan rakyat, bukan menyukarkan pentadbiran negara.”
“Saya terkejut apabila Ketua Polis Negara pun keliru dengan prinsip kelima apabila beliau mempertahankan pegawai polis yang menghalang seseorang daripada membuat laporan polis.”
“Dia lupa tanggungjawab polis hanya untuk menguatkuasakan undang-undang dan menjaga keselamatan awam iaitu menegakkan Perlembagaan dan menghormati kedaulatan undang-undang dalam Rukun Negara.”
Tegasnya, tiada cabang Kerajaan telah diberi kuasa oleh Dewan untuk menguatkuasakan etika berpakaian ke atas rakyat Malaysia.