MoU Undi Percaya: Letak Jawatan Automatik, Menghampiri Tingkah Laku Autoritarian – IDEAS
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 20 Disember 2022 – Klausa perletakan jawatan secara automatik dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Kerajaan Perpaduan disifatkan menghampiri tingkah laku autoritarian, menurut Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) menerusi hantaran di laman web rasminya.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif IDEAS, Dr Tricia Yeoh,
“Langkah ini bertentangan dengan prinsip kebebasan berpersatuan dan bersempadan dengan tingkah laku autoritarian, memandangkan Ahli Parlimen perlu menggunakan pertimbangan masing-masing dalam hal dasar dan undang-undang dan berkemungkinan mempunyai pandangan berbeza daripada parti politik mereka. Kita bimbang bahawa dalam hasrat Kerajaan untuk mencapai kestabilan, ia sebaliknya bergerak ke arah membendung perbezaan pendapat,”
Susulan itu, IDEAS menggesa agar pembentukan Kabinet Bayangan dimulakan dalam kadar yang segera bagi memastikan proses semak dan imbang terhadap Kerajaan dapat dilaksanakan.
Sebelum ini, Perjanjian Persefahaman Kerjasama yang berlangsung pada 16 Disember lalu ada menyebut bahawa semua parti yang terlibat dikehendaki menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkaitan usul percaya, perbekalan dan/atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan.
Perjanjian itu juga menyatakan Ahli Parlimen yang gagal, enggan atau cuai untuk berbuat sedemikian dikira melanggar tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen yang sekali gus menyebabkan mereka diberhentikan daripada menjadi Ahli Parlimen.
Malah, perjanjian tersebut mengikat semua parti terlibat untuk menyokong Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam proses undi percaya.