Mossad Guna Chalet Sunyi Hulu Langat Soal Siasat Mangsa Culik Palestin
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
HULU LANGAT, 19 Oktober 2022 – Berikutan kes culik seorang rakyat Palestin oleh ejen perisikan Israel, Mossad bulan lalu, sebuah portal berita tempatan mendedahkan lokasi soal-siasat mangsa culik berkenaan iaitu di sebuah chalet ‘sunyi’ di Hulu Langat, Selangor.
Pusat peranginan yang terasing itu boleh disalah anggap sebagai bangunan terbiar, jika tidak kerana kawasannya yang bersih dan terjaga dengan baik serta kehadiran tukang penyelenggaraan.
Pembangunan terdekat dengan chalet tersebut adalah kira-kira satu kilometer jauh manakala laluan ke chalet adalah sepanjang 2 kilometer dikelilingi hutan di kedua-dua belah jalan. Walaupun terdapat pusat peranginan lain di sepanjang jalan berkenaan, kawasan itu tetap juga sunyi.
Lokasi ‘strategik’ chalet itu menjadikannya sebagai tempat pilihan rakyat Malaysia yang diupah menjadi ejen perisikan Israel, Mossad untuk menjalankan operasi. Mereka telah menempah sebuah bilik menghadap hutan di bahagian belakang resort supaya sebarang kegiatan boleh dijalankan tanpa diperhatikan.
Sehubungan itu, mangsa culik telah dibawa ke bilik chalet tersebut, diikat, diseksa dan disoal siasat oleh dua lelaki Israel melalui panggilan video. Mangsa menghadapi banyak kecederaan di kepala, badan dan juga kaki.
Mengulas lanjut, jurucakap pusat peranginan tersebut memaklumkan bahawa media sosial telah dihujani pelbagai komen yang mengaitkan operasi chalet dengan insiden itu.
Katanya, tugas kakitangan hanyalah memudahkan tempahan untuk tetamu dan mereka tidak mempunyai maklumat lanjut mengenai tetamu.
“Kami tidak tahu apa yang tetamu lakukan dan kami tidak mempunyai kawalan ke atasnya,” ujarnya sambil meluahkan bahawa resort tersebut telah kehilangan pelanggan apabila beberapa tetamu membatalkan tempahan susulan dikaitkan dengan kes culik itu.