Miskin Tegar, Bumiputera Paling Tinggi Di Malaysia 7.2%
KUALA LUMPUR, 08 Mac 2023 – Kadar kemiskinan di Malaysia mencatatkan masyarakat Bumiputera di kedudukan tertinggi iaitu 7.2%, dedah Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.
Rekod tersebut diikuti oleh India (4.8%) dan Cina (1.4%), ujar Rafizi dalam jawapannya terhadap soalan yang dikemukakan Muhammad Fawwaz Mohamad Jan (PN-Permatang Pauh), yang meminta data kadar kemiskinan mengikut kaum, agama dan negeri.
Menurut Rafizi, kemiskinan mutlak diukur melalui pendapatan garis kemiskinan (PGK) dan ia merujuk kepada tahap pendapatan isi rumah bulanan yang diperlukan untuk memenuhi keperluan minimum bagi setiap ahli keluarga untuk menjalani kehidupan yang sihat dan aktif.
BACA JUGA: JAKIM Gesa Peniaga Dekorasi Al-Quran Buat Semakan
BACA JUGA: Arab Saudi Umum Peraturan Baharu Sempena Ramadhan
BACA JUGA: Rugi Puluhan Ribu, Jemaah Umrah Digalakkan Ambil Insurans
Menteri itu turut menjelaskan bahawa golongan miskin tegar adalah mereka yang mempunyai PGK kurang daripada RM1,169, sementara golongan kemiskinan mutlak pula berpendapatan kurang daripada RM2,208.
Ini berdasarkan tinjauan pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas yang dilaksanakan sebanyak lima kali setahun.
Mengulas lanjut, Rafizi berkata Kerajaan telah memperuntukkan RM750 juta bagi Inisiatif Pendapatan Rakyat sebagai sebahagian daripada usaha menggalakkan keupayaan kumpulan B40.
Inisiatif tersebut membabitkan tiga program iaitu inisiatif usahawan peladang, inisiatif usahawan makanan dan inisiatif pengendali perkhidmatan.