Menteri Pertahan Kenyataan Pelarian Rohingya Berpeluang Sambung Belajar Di IPTA
KUALA LUMPUR, 21 Jun 2023 – Pendidikan ialah hak setiap manusia dan Malaysia tidak boleh bersikap pentingkan diri dalam soal itu, demikian komen Menteri Pendidikan Tinggi Mohamed Khaled Nordin sewaktu mengulas mengenai kebimbangan segelintir pihak berhubung langkah membenarkan pelarian Rohingya menyambung pengajian di institusi pengajian tinggi (IPT) Malaysia.
“Kita tahu masa depan dia bergantung sama ada dia boleh dapat ilmu atau tidak, dan sebab itu kita tak boleh anggap bahawa ini sesuatu yang saya ingat dia lari daripada nilai-nilai kita sebagai seorang manusia dan insan, kita langsung tak nak bantu orang, kita hanya fikir kita sahaja,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan program Semarak Siswa Madani di Putrajaya, semalam.
BACA JUGA: TH Hanya Benarkan Pemindahan Wang Ke Akaun Sendiri Julai Ini
BACA JUGA: PN Janji Adakan Pusat Jagaan Kanak-Kanak Seluruh Selangor Jika Menang PRN
BACA JUGA: Kerajaan Mesir ‘Robek’ Tanah Perkuburan Islam, Termasuk Makam Imam Syafie
Katanya lagi, kemasukan pelajar pelarian Rohingya ke IPTA juga tidak mengancam kedaulatan negara.
“Tak ada timbul (isu kedaulatan). Kita (Malaysia) sebahagian daripada negara bertamadun yang memahami bahawa adalah juga diharapkan dari negara kita untuk bantu mereka yang menjadi pelarian.”
Dalam masa sama, beliau turut memaklumkan bahawa penempatan pelarian Rohingya sebagai mahasiswa tidak tertakluk kepada institut pengajian tinggi awam (IPTA) sahaja.
“Kalau hendak masuk universiti, mereka sememangnya pandai dan layak. Ia tidak semestinya IPTA tetapi boleh juga swasta (IPTS).”
Baru-baru ini media tempatan melaporkan, pelarian Rohingya di Malaysia yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi akan dapat melakukannya tidak lama lagi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
Peluang pengajian tinggi untuk Rohingya ini akan dibiayai oleh derma AS$50 juta (kira-kira RM231 juta) daripada Dana Qatar Untuk Pembangunan yang diterima sebelum 2020.