Melayu Takut Vaksin Anak Kerana Berita Palsu – Exco Pulau Pinang
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GEORGETOWN, 01 Mac 2022 – Dr Norlela Ariffin, Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar serta Kesihatan menyatakan bahawa kebanyakan masyarakat Melayu menolak untuk memvaksin anak mereka berikutan berita palsu yang disebar luas di aplikasi Whatsapp.
“Pelbagai faktor dikenal pasti menjadi punca mengapa masyarakat Melayu menolak dan takut untuk membenarkan anak mereka mendapatkan vaksin Covid-19, antaranya kemunculan berita palsu mengenai vaksin Covid-19 yang tersebar di kumpulan WhatsApp,” ujarnya.
Kebanyakan masyarakat Melayu lebih memilih untuk terpengaruh dengan berita palsu yang tersebar daripada mengambil fakta yang tepat dan sahih yang disampaikan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri.
Tambahnya, bukan sahaja KKM malah mufti turut memberikan penjelasan mengenai vaksin. Namun, masyarakat Melayu masih ragu-ragu dengan status vaksin itu.
“Ada yang masih ragu-ragu mengenai status halal vaksin ini walaupun para mufti telah memberi penjelasan mengenainya,” katanya.
Mengulas lanjut akan isu ini, Dr Norlela menyatakan bahawa kurangnya keyakinan dalam kalangan masyarakat Melayu terhadap vaksin menjadi sebab terhadap rendahnya liputan vaksinasi kanak-kanak Melayu di Pulau Pinang.
Bagi menangkis stigma itu, Norlela menyuarakan beberapa inisiatif yang akan diambil kerajaan negeri untuk meyakinkan ibu bapa mengenai kebaikan vaksin.
Antaranya, sesi libat urus bersama ibu bapa akan diteruskan di sekolah agama rakyat dan sekolah kebangsaan supaya keyakinan ibu bapa terhadap vaksinasi anak-anak dapat ditingkatkan.
“Bagaimanapun, hanya 3.9 peratus kanak-kanak yang mendaftar di sekolah agama telah diberi vaksin. Oleh itu, kita akan terus laksanakan sesi libat urus bersama ibu bapa dalam kalangan masyarakat Melayu agar mereka faham mengenai kepentingan vaksin ini,” jelasnya.
Bukan sahaja bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), pihaknya juga akan bergandingan dengan Jabatan Hal Ehwal Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) untuk mengadakan sesi libat urus di sekolah-sekolah.
“Selain penerangan dari segi saintifik, kita juga memerlukan penjelasan dari sudut agama Islam supaya ibu bapa tidak menaruh syak wasangka terhadap vaksin,” ulasnya lagi.
Setakat 7 pagi, Isnin, 32.8 peratus kanak-kanak berusia lima hingga sebelas tahun dicatatkan telah menerima vaksinasi PICKids di Pulau Pinang.
Baru-baru ini dalam satu sidang akhbar, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin mengakui bahawa masyarakat Melayu merupakan kalangan yang paling tinggi menolak penerimaan dos penggalak serta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-kanak (PICKids).
Oleh itu, langkah segera perlu diambil supaya isu ini dapat diatasi biar pun ia merupakan satu cabaran yang besar.
Selain strategi komunikasi yang berkesan dan pantas, beliau juga mengakui dengan melalui pengesahan maklumat oleh pakar ia dapat memberi keyakinan kepada orang ramai untuk mengambil dos penggalak dan vaksin untuk anak-anak.