Mayat Covid-19: Boleh Kebumi Tetapi 300KM Dari Ibu Negara
COLOMBO – Komuniti Muslim dan Kristian Sri Lanka berterima kasih dengan keputusan kerajaan negara itu yang membenarkan mayat mangsa Covid-19 dikebumikan berbanding polisi sebelum ini yang memaksa mayat bukan Buddha juga dibakar.
Namun, kerajaan Sri Lanka menetapkan bahawa mayat mangsa Covid-19 haruslah dikebumikan di Pulau Iranathivu, Teluk Mannar yang terletak 300KM dari ibu negara Sri Lanka dan dihuni oleh lebih kurang 250 orang Tamil.
Ini menyebabkan kedua-dua komuniti tersebut berang dengan keputusan terbaru kerajaan.
Hal ini kerana tapak pengebumian itu bukan sahaja jauh daripada ibu negara malah boleh melaga-lagakan komuniti Muslim, Kristian dan Tamil.
Timbalan Presiden Persatuan Muslim Sri Lanka, Hilmy Ahmad berkata, “Ini adalah keputusan yang tak masuk akal dan tidak sensitif. Ia juga satu agenda yang rasis. Yang paling menyedihkan adalah, tindakan ini hampir melaga-lagakan Muslim dengan komuniti Tamil yang menetap di situ.”
Perkara ini dipersetujui oleh Madutheen Pathinather, seorang paderi yang menetap di Pulau Iranathivu itu.
“Komuniti di sini “amat terluka” dengan keputusan kerajaan ini. Kami dengan keras membangkang keputusan ini. Ia akan “melukakan” komuniti setempat.”
Muslim Sri Lanka sebelum ini mengadakan demonstrasi bagi menuntut kerajaan negara itu menamatkan polisi membakar mayat mangsa Covid-19 secara paksa tanpa mengira agama.
Dakwa kerajaan Sri Lanka, keputusan membakar mayat adalah kerana tindakan mengebumikan mayat mangsa Covid-19 boleh mencemarkan sumber air bawah tanah.