Masih Ada Usaha Bina Semula Sekolah Cina Di Tapak Sekolah Kebangsaan – Pengerusi BERTINDAK
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
PUCHONG, 27 Januari 2022 – “Tolong jangan timbulkan suasana panas lagi di Bandar Kinrara,” demikian amaran keras dari Persatuan Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK) selepas mendapati terdapat usaha dari jalan belakang yang berkemungkinan untuk membina semula sekolah vernakular yang telah dihentikan tahun lalu.
Ini adalah perkembangan terkini di tapak Sekolah Kebangsaan Jalan BK5B, Bandar Kinrara Puchong yang pernah dicerobohi oleh pembinaan SJKC Too Joon Hing sebelum ini, ujar Pengerusi BERTINDAK Haji Mohd Haron Al-Sidik.
Beliau berkata, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS) telah dimaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memanggil tender untuk pembinaan sebuah Sekolah Rendah Kebangsaan untuk semua kaum di tapak lain di Bandar Kinrara.
Namun, yang menjadi tanda tanya dan menghairankan ialah, mengapa SK baharu ini tidak dibina di tapak yang dicerobohi sebelum ini.
“Kenapa penduduk tidak dimaklumkan mengenai kelulusan tender ini? Kenapa tidak berbincang dengan Pertubuhan Badan Bertindak Bandar Kinrara (BERTINDAK)? Soal beliau.
Aktivis masyarakat itu berkata, hal ini menunjukkan bahawa masih ada usaha-usaha untuk meneruskan pembinaan haram di tapak SK BK5B kerana itu, sehingga sekarang papan tanda dan pagarnya masih berdiri teguh, mungkin disebabkan mereka ada perancangan lain.
Soal Haji Mohd Haron lagi, “Bagaimana mereka dapat membuat panggilan tender? Bila masa mereka buat kajian maklum balas dari penduduk setempat. Adakah lawatan tapak sudah dibuat atau tidak?”
Oleh yang demikian, beliau menyatakan, “BERTINDAK ingin menasihati semula kepada AJK Penaja SJKC Too Joon Hing, JPNS dan KPM, jangan buat sesuatu tanpa berbincang dengan penduduk setempat.”
Jika masih ada usaha untuk membina SJKC ini di mana-mana tapak SK di Bandar Kinrara, BERTINDAK tidak akan teragak-agak untuk membuat bantahan dan perhimpunan secara besar-besaran, kali ini.
Sebelum mengakhiri kenyataan, Haji Mohd Haron menegaskan, tiga tapak SK yang ada di Bandar Kinrara adalah milik mutlak untuk pembinaan Sekolah Kebangsaan pelbagai kaum sahaja, bukan untuk sekolah Vernakular.
“Tolong jangan timbulkan suasana panas lagi di Bandar Kinrara,” kata beliau.