Martabatkan Bahasa Kebangsaan Ke Pentas Antarabangsa – Prof Jessica Ong Hai Liaw
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
JUMAAT, 4 Mac 2022 – “Bahasa Melayu lebih dinamik ini perlu dipromosi lebih agresif dalam usaha memartabatkan Bahasa Kebangsaan ke pentas antarabangsa.”
Kenyataan itu dibuat oleh Pakar Psikologi Bahasa dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Korporat Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw melalui penulisan beliau melalui portal berita harian pada 28 Februari 2022.
Berikutan dari itu, beliau menyeru seluruh Keluarga Malaysia dengan mengatakan bahawa, menghormati Rukun Negara dan penggunaan bahasa kebangsaan tidak sepatutnya hanya berlaku di sektor awam, malah sektor swasta dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC).
“Apabila pincangnya bahasa kebangsaan dalam arena pentadbiran negara maka pentadbiran yang memberikan teladan pincangnya amalan menghayati Rukun Negara.”
Beliau menerangkan lagi di mana Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man turut menyampaikan ucapan dalam Bahasa Melayu pada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tempoh hari.
Dalam pada itu, beliau juga sempat memberikan satu perancangan pelan jangka panjang bagi membina perisian yang lebih lengkap dan boleh digunakan di peringkat antarabangsa.
Melalui perisian tersebut, terjemahan Bahasa Melayu kepada bahasa antarabangsa utama boleh dilakukan di mana saja untuk memberi manfaat kepada semua pihak.
“Kempen mendaftarkan perniagaan bercitrakan bahasa kebangsaan oleh perniagaan tempatan juga perlu digalakkan melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
“Citra bahasa ini bukan saja diterjemahkan melalui komunikasi dan pengucapan tetapi turut melalui komunikasi tanpa suara iaitu paparan papan tanda perniagaan dan iklan,” jelas beliau lagi mengenai hal ini.
Tambahan dari itu, beliau melaporkan bahawa Prof Emeritus Datuk Dr Nik Safiah Karim pernah menjelaskan, seseorang itu perlu mempunyai keberanian dan keyakinan tinggi terhadap diri dan bangsa untuk meningkatkan martabat bahasanya.
“Mereka tidak harus bimbang atau tidak terkesan dengan anggapan atau tomahan mengatakan mereka ini tidak pandai berbahasa Inggeris dan tidak nampak seperti golongan terpelajar.
Menerusi persembahan Makyung yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO), dikir barat dan wayang kulit, ia boleh dijadikan medium untuk memartabatkan bahasa Melayu di persada dunia.
Dalam memperkukuhkan tekad ini, nilai sesuatu bahasa berkait rapat dengan nilai ekonomi atau kemajuan sesebuah negara dan keunikan rakyat Malaysia yang berbilang kaum dengan kepelbagaian strata sosial menyediakan peluang ekonomi kepada pelabur dan ahli perniagaan. Negara yang ekonominya berkembang pesat, bahasanya juga turut berkembang dengan pesat.
Prof. Madya Ts Dr. Jessica Ong Hai Liaw turut mengambil contoh negara lain seperti Jepun, China, Jerman, Perancis dan Russia yang mengangkat bahasa kebangsaan negara mereka agar terus menjadi mercu tanda dan identiti budaya bangsa.
Bagi mengakhiri penulisan, beliau mendoakan semoga lembaran baharu untuk mengangkat semula bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antarabangsa menjadi realiti dengan sokongan dan pembabitan semua pihak sebagai benteng pertahanan dan perpaduan Keluarga Malaysia.