Malaysia Negara Kedua Rasis Di Dunia – Kajian
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 29 September 2022 – ‘Tinjauan Diskriminasi Kaum’ oleh Index Mun menunjukkan bahawa Malaysia menduduki tangga kedua negara rasis di dunia dengan purata 6.32.
Tujuan ‘Tinjauan Diskriminasi Kaum’ itu adalah untuk mengukur sejauh mana perkauman wujud di negara tertentu seperti yang dirasakan oleh penduduk di negara tersebut.
Menurut tinjauan tersebut, Afrika Selatan mendahului sebagai negara pertama rasis dengan purata 6.86 daripada keseluruhan 76 buah negara di dalam senarai Index Mundi.
Seterusnya, diikuti tangga ketiga adalah Guatemala dengan purata 6.10, Peru negara keempat dengan purata 5.91 dan Trinidad dan Tobago (5.73) di kedudukan kelima.
Negara-negara lain seperti Singapura menduduki tangga ke-73 dalam senarai ‘Tinjauan Diskriminasi Kaum’, manakala China tersenarai di di tangga ke-32 negara rasis.
Perkongsian tersebut viral apabila ianya dikongsikan sebuah portal media berbahasa Inggeris tempatan yang memetik tinjauan tersebut dengan berkongsi respon para netizen tempatan yang rata-rata tidak bersetuju dengan hasil tinjauan yang dibuat.
Mengulas mengenai isu rasis di Malaysia ini, satu perkongsian di akaun TikTok @worldofbuzz melaporkan bahawa rasis di Malaysia adalah berpunca daripada politik.
“Jika dilihat dari aspek kehidupan. Kami (rakyat) berkawan dengan semua yang berlainan agama dan bangsa.”
Tinjauan pihak samudera.my tidak mendapatkan tarikh kajian itu dibuat mahupun sebarang perkongsian tentang metodologi yang diguna pakai sehingga menghasilkan dapatan sedemikian.