Lepasan SPM Mahu Jadi Pempengaruh Sosial Media – Kajian
KUALA LUMPUR, 09 April 2023 – Kajian mendapati kebanyakan remaja lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) lebih memilih untuk menjadi influencer atau pempengaruh dan affiliate (rakan sekutu) media sosial berbanding melanjutkan pelajaran.
Dapatan itu diambil daripada kajian yang dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Undian Universiti UCSI pada Mac lepas.
BACA JUGA: Kereta Polis Dengan Muatan Mercun Bernilai RM25,000 Ditahan
BACA JUGA: Jalan Gua Musang-Kuala Lipis Ditutup, Polis Cadang Laluan Alternatif
BACA JUGA: Cadangan Pendekkan Tempoh Haji Lebih Mahal Kos
Menurut kajian itu, mereka yang tidak melanjutkan pelajaran memilih menjadi pempengaruh (34 peratus), ekonomi gig seperti e-panggilan (26 peratus), memulakan perniagaan (22 peratus) dan baki lapan peratus lagi tidak ada sebarang perancangan tentang masa depan mereka.
Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Zainal Madon berpendapat, kerjaya sebagai pempengaruh dapat menarik minat anak muda kerana sesuai dengan jiwa mereka yang sukakan kemasyhuran dan memperoleh pendapatan lumayan dengan mudah dan pantas.
“Melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi mula dianggap sebagai perkara biasa oleh sebilangan pelajar selain ada yang melihat lulus universiti bukan jaminan mendapat pekerjaan yang baik. Ini antara faktor ramai lepasan SPM khususnya, tidak mahu meneruskan pengajian ke menara gading,” ulas beliau.
Dalam pada itu, pakar psikiatri dan Ketua Jabatan Psikiatri, Hospital Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Mohd Azhar Mohd Yasin merumuskan faktor yang menyumbang kepada keengganan lepasan SPM menyambung pendidikan sebagai 3P (Pelajar, Pelajaran dan Persekitaran).
“Dari segi pelajar, selalunya disebabkan diri sendiri. Kita tahu sekarang ini ada pelajar dari awal lagi tidak dapat memberi tumpuan kepada pelajaran berbanding permainan dalam talian dan telefon pintar.”
Selain itu, proses pembelajaran itu sendiri kemungkinan bukan satu proses yang menyeronokkan selain menyedari lulus SPM ataupun universiti tidak menjamin mereka mendapat pekerjaan yang setimpal.
“Sebab ketiga persekitaran, iaitu apabila banyak peluang pekerjaan seperti e-panggilan, pempengaruh yang digambarkan sebagai menjana pendapatan yang banyak, membuatkan mereka terpengaruh untuk turut menyertai bidang tersebut,” katanya.
Pakar psikologi daripada Universiti SEGi, Profesor Dr Datin Mariani Md Nor turut bersetuju kerana inginkan pulangan yang lebih cepat, anak muda lepasan SPM cenderung memilih pekerjaan sedemikian.