Lelaki Dakwa Tunaikan ‘Badal’ Umrah Untuk Ratu Elizabeth II Ditahan
Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
ARAB SAUDI, 13 September 2022 – Pihak Berkuasa Arab Saudi telah menahan seorang lelaki yang mendakwa pergi ke kota suci Mekah untuk menunaikan ibadah umrah bagi pihak Ratu Elizabeth II.
Arab Saudi dalam satu kenyataan menyatakan lelaki tersebut ditahan kerana telah melanggar undang-undang dan arahan untuk para jemaah yang berkunjung ke Masjidil Haram.
Lelaki yang merupakan warganegara Yaman itu telah memuat naik video dirinya ketika berada di Masjidil Haram ke media sosial.
Video berkenaan memaparkan dia mengangkat sepanduk yang tertulis “Umrah Untuk Roh Ratu Elizabeth II, Kami Mohon Tuhan Mengurniakannya Syurga dan Ditempatkan Di Kalangan Mereka yang Soleh”.
Justeru ia menimbulkan kritikan dan rasa marah pengguna media sosial khususnya di Twitter dan menggesa lelaki terbabit ditangkap.
Arab Saudi sememangnya melarang para jemaah haji membawa sepanduk atau melaungkan apa-apa slogan ketika berada di Mekah.
Walaupun individu dibenarkan menunaikan umrah bagi pihak mereka yang meninggal dunia namun syarat itu tidak terpakai kepada orang bukan Islam seperti Ratu Elizabeth II yang merupakan Gabenor Tertinggi Gereja England, ‘Ibu’ segala gereja kristian di seluruh dunia, demikian kenyataan dari sebuah portal antarabangsa.