Ladang Durian Haram: Beri Lesen ‘Kegilaan Melampau’, Warga Raub Digesa Bantah!
RAUB, 15 Jun 2023 – “Bukan sahaja tamak dan tak tahu malu, tetapi ianya satu kegilaan yang melampau. Tanah yang diceroboh selama 40 tahun dan dikaut untung berganda-ganda tanpa membayar satu sen pun kepada Kerajaan Negeri selama ini. Kini, dituntut pula agar Kerajaan beri geran sampai ke peringkat Parlimen,” tempelak Pengerusi Kepimpinan Zaaba (ZIL), Hj Aminuddin Yahaya terhadap tuntutan Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui baru-baru ini.
Bercakap di Dewan Rakyat, wakil Pakatan Harapan (PH) itu berkata, penceroboh ladang durian di Raub wajar diberikan lesen dan geran tanah atas dasar hak asasi manusia.
Bagaimanapun, kenyataan tersebut mengundang kemarahan Aminuddin Yahaya yang menyifatkannya sebagai ‘gila dan tegar’.
Tegasnya, “Boleh pula YB Chow kaitkan isu dengan pencabulan hak asasi manusia. Sejak bila pula hak menceroboh menjadi asasi bagi manusia? Memang keji sungguh dia punya tak malu menegakkan benang yang basah.”
“Kita semua sudah maklum bahawa apa yang terjadi di Pahang ini adalah hasil dari kedayusan pemimpin Melayu, kelemahan struktur pentadbiran Kerajaan dan penguatkuasaan sehingga begitu berani meminta permintaan ‘luar tabii’ sebegini.”
BACA JUGA: Tasik Chini Kekal Status Rizab Biosfera UNESCO
BACA JUGA: Kerajaan Pahang Tanggung Baki Kos Perubatan Adik Athif
BACA JUGA: Sup Tulang Babi Makanan Warisan, Rais Yatim Gesa Jabatan Warisan Nasihat Menteri
Dalam pada itu, beliau mempersoalkan, “Apakah pemimpin Melayu mampu untuk menahan arus desakan ini? Atau akhirnya akan akur dengan permintaan mereka? Lebih-lebih lagi politikus-politikus Melayu dalam Kerajaan kini berada di hujung tanduk, dalam pelbagai aspek; kes mahkamah, sokongan kerusi Kerajaan Persekutuan/Negeri, terhutang budi, dsb.”
Beliau juga berpendapat bahawa pemimpin Melayu akan bersedia memberikan geran tersebut kerana mereka pandai berbelit untuk mensucikan sesuatu termasuk parti DAP.
“Apa lah sangat kalau nak sucikan penceroboh-penceroboh ini. Semuanya demi survival parti,” sinisnya.
Lantaran itu, Aminuddin menggesa semua anak-anak jati Raub bangkit menentang desakan tersebut sebelum Ahli Parlimen kawasan itu terus dengan yakinnya memperjuangkan perkara yang salah.