La Nina & El Nino Lebih ‘Parah’ Dijangka Berlaku Di Lautan Pasifik Menjelang 2030
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
AUSTRALIA, 19 November 2022 – Fenomena La Nina dan El Nino yang lebih ‘parah’ dijangka berlaku di Lautan Pasifik menjelang 2030 ini, lapor sebuah portal berita antarabangsa.
“Kita harus bersedia untuk berhadapan dengan kemarau berpanjangan dan banjir besar pada masa hadapan.”
“Banjir berkemungkinan lebih membawa kerosakan dalam konteks infrastruktur berbanding kemarau, namun kemarau sangat memberi kesan terhadap pertanian,” jelas penyelidik dari Pusat Penyelidikan Perubahan Iklim Universiti New South Wales, Dr Agus Santoso.
Katanya, kedua-dua fenomena itu mampu memberi impak kerugian yang besar terhadap ekonomi.
Beliau telah menganalisis 70 tahun rekod suhu permukaan laut di Lautan Pasifik untuk memodelkan perubahan dalam El Nino-Southern Oscillation (ENSO) di bawah unjuran semasa pemanasan global.
Akhir-akhir ini, dunia sering digemparkan dengan fenomena suhu panas ekstrem serta ribut taufan yang meranapkan harta benda serta meragut nyawa. Antaranya, fenomena kemarau melampau di wilayah Jiangxi, China yang telah mengakibatkan tasik air tawar Poyang mengalami penurunan paras air.
Malah, Pakistan turut dilanda banjir besar sehingga meragut 1,700 nyawa serta menjejaskan 33 juta yang lain dan disifatkan sebagai tragedi iklim terbesar abad ini oleh Menteri Perubahan Iklim Pakistan, Sherry Rehman.
Awal Oktober lalu, tenggara AS turut dilanda Taufan Ian sehingga mencatatkan angka kematian seramai 85 orang.