Tempatan

Kurikulum Persekolahan 2027 Perkasakan Tulisan Jawi

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 08 Julai 2024 – Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 mampu memperkasakan pembelajaran tulisan jawi dalam mata pelajaran Pendidikan Islam pada peringkat sekolah rendah dan menengah.

Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memaklumkan bahawa pihaknya sentiasa komited untuk mengangkat martabat tulisan jawi dengan memperkenalkan bidang pembelajaran jawi pada peringkat sekolah rendah dan menengah melalui mata pelajaran Pendidikan Islam.

Menerusi jawapan bertulis disiarkan di laman sesawang Parlimen, KPM memberitahu pembelajaran tulisan jawi pada peringkat sekolah rendah akan menekankan kemahiran literasi jawi selama dua tahun bagi murid Tahap 1 dan akan diteruskan lagi dengan pelbagai kemahiran tulisan jawi pada Tahap 2 dan Tahap 3.

“Pada peringkat menengah, kandungan pembelajaran tulisan jawi akan menekankan kepada pengukuhan dan pengayaan dalam kemahiran membaca dan menulis serta melestarikan tulisan jawi sebagai warisan budaya.”

Seterusnya, bagi memperkukuh penguasaan tulisan jawi dalam kalangan murid, modul literasi dan modul pengayaan turut akan digubal.

“Pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 diharap akan dapat melahirkan murid yang mampu menguasai kemahiran membaca dan menulis dalam tulisan jawi di samping memupuk rasa cinta terhadap tulisan jawi sebagai satu warisan budaya,” jawab KPM apabila diminta oleh Ahli Parlimen Jerai, Sabri Azit untuk menyatakan sejauh mana tulisan jawi dapat dikembalikan dalam peperiksaan di sekolah harian peringkat menengah atas setelah ditamatkan di peringkat menengah atas.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: