Tempatan

Kuasa Peguam Negara Dan Penghakiman Mahkamah Kini Makin Dipertikai – Datuk Zainul Rijal Abu Bakar

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR, 23 Mei 2023 – “Setakat ini 10 dari 14 buah negeri di Malaysia mempunyai undang-undang yang dipanggil anti propagation law iaitu undang-undang kawalan penyebaran agama bukan Islam di kalangan orang Islam. Di dalam undang-undang tersebut ada beberapa kalimah-kalimah yang berakar umbi daripada Islam seperti Allah, Kaabah, Solat, Baitullah dan banyak lagi tidak dibenarkan digunakan oleh orang bukan Islam bagi merujuk kepada agama mereka,” jelas Datuk Zainul Rijal Abu Bakar, mantan Presiden Persatuan Peguam-Peguam Muslim Malaysia.

Menurutnya, bukan bermakna orang bukan Islam langsung tak boleh sebut Allah, tidak. Kalau orang bukan Islam menyebut Allah untuk merujuk kepada tuhan orang Islam itu tidak ada masalah, bukan kesalahan. Tetapi kalau orang bukan Islam ataupun orang Islam menyebut Allah bagi merujuk kepada tuhan Jesus ataupun tuhan Hindu atau Buddha dan sebagainya itu adalah satu kesalahan di dalam enakmen di 10 negeri yang mewartakan anti propagation law ini. Kesalahan tersebut bukan dibicarakan di Mahkamah Syariah tetapi di Mahkamah Sivil.

Berdasarkan kepada Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. Perkara 11(4) membenarkan Dewan Undangan Negeri untuk membuat undang-undang sebegitu. Undang-undang tersebut berkaitan undang-undang menyekat dan menghalang penyebaran agama bukan Islam kepada orang Islam di Malaysia.

Bagaimanapun, masih lagi menjadi kesalahan kalau orang bukan Islam menyebarkan agama bukan Islam kepada orang Islam di 10 buah negeri di Malaysia kecuali 4 Negeri yang belum diluluskan ialah Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Walaupun, Jill Ireland dari Sarawak di mana undang-undang itu tidak terpakai di sana, tetapi dia ditahan oleh pihak Kastam di Lapangan Terbang LCCT, Sepang di dalam negeri Selangor atas kesalahan memiliki cakera padat dan kitab yang tertulis kalimah Allah, Kaabah, Baitullah dan Solat yang merujuk kepada agama bukan Islam iaitu agama Kristian.

Jadi, Undang-Undang Negeri Selangor sepatutnya dan sudah semestinyalah terpakai kepada beliau. Dan untuk mengatakan langsung tidak boleh disebarkan dan sebagainya undang-undang itu masih kekal sebab telah termaktub di dalam Perlembagaan.

Perlu kita fahami, isu ini bukanlah melibatkan orang bukan Islam tidak boleh menyebut, menulis perkataan Allah dan sebagainya tetapi ia dilarang untuk digunakan bagi maksud untuk merujuk kepada agama bukan Islam.

Tetapi, dengan adanya keputusan sebegini mungkin akan ada cabaran selepas daripada ini. Sudah tentu akan ada yang mengatakan undang-undang yang menghalang itu juga adalah tidak berperlembagaan berdasarkan perintah tersebut. Mungkin akan ada juga cabaran undang-undang tersebut bertentangan dengan perlembagaan ke atas 10 buah negeri selepas daripada ini. Sebagaimana banyak undang-undang kita yang dicabar, sebelum ini.

Maka, keputusan Kerajaan untuk tidak merayu akan dijadikan platform untuk aktivis bukan Melayu mencabar enakmen di setiap negeri lain pula.

Sebab penghakiman yang membenarkan dalam kes Jill Ireland itu tidak dirayu oleh Kerajaan. Kalau Kerajaan tidak rayu bermakna Kerajaan setuju dengan penghakiman membenarkan mereka menggunakan kalimah tersebut. Secara tak langsung Kerajaan bersetuju bahawa penggunaan istilah Allah, Kaabah, Baitullah, Solat dan sebagainya yang berkaitan dengan orang Islam boleh digunakan oleh orang bukan Islam untuk merujuk agama mereka. Maka, hak itu sudah tidak eksklusif dan khusus penggunaannya untuk agama Islam sahaja.

Dari segi impak ataupun kesannya perlu dilihat dari konteks negara kita kerana untuk mentafsir undang-undang ataupun Perlembagaan negara kita, perlulah digunakan konteks tempatan secara konsisten bukan luar negara. Perkara ini, juga telah disahkan oleh Almarhum Sultan Perak Sultan Azlan Shah ketika baginda menjadi Hakim Mahkamah.

Persoalannya, apa yang boleh dibuat jika Kerajaan bertegas tidak mahu menarik balik?

Datuk Zainul Rijal berkata, pihaknya dimaklumkan penarikan balik dibuat pada 18 April 2023, yang sepatutnya kes tersebut disebut semula pada 18 Mei ini dan kes tiba-tiba telahpun dilapangkan. Maknanya sudah tidak ada kes setelah ditarik balik oleh Kerajaan secara rahsia.

Persoalannya, adakah tiga majlis agama iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) yang telah diberikan hak sebagai Sahabat Mahkamah yang boleh membantu Mahkamah di dalam prosiding rayuan nanti dirunding terlebih dahulu. Kita tidak tahu, tidak ada maklumat yang disebarkan berhubung perkara itu, sebelum ini.

Tuanku Sultan Selangor dan Tuanku Sultan Johor setelah kes ini kalah di Mahkamah Tinggi telah bertitah supaya pihak Kerajaan merayu terhadap keputusan tersebut dan ia telah pun dirayu.

Persoalannya, adakah kedua-dua Tuanku telah disembah maklum tentang perkara penarikan balik itu. Adakah kedua-dua Tuanku telah berkenan untuk menarik balik atau tidak titah baginda terdahulu. Persoalan itu tidak dijawab oleh Kerajaan yang sangat berahsia. Dan beberapa hari ini baru tiba-tiba perkara itu timbul dan heboh.

Ditanya, apakah peluang untuk menang kes ini tinggi untuk menghalang 4 kalimah. Masih bolehkah pembatalan itu ditarik balik atau tak, kalau boleh, prosedurnya macam mana? Kalau tak boleh, apa lagi boleh dibuat?

Nota Tun Ghafar Baba Pada Tahun 1986 Itu Sebenarnya Disalahtafsirkan Oleh Mahkamah Tinggi

Beliau berkata, walaupun, untuk memberi jaminan keputusan menang itu bukan tugas peguam tetapi itu tugas Hakim, namun ada isu yang kita boleh bawa di Mahkamah dari sudut pentaksiran nota yang dibuat oleh Tun Ghafar Baba pada tahun 1986 itu sebenarnya disalahtafsirkan oleh Mahkamah Tinggi ini kerana memandangkan penghakiman banyak merujuk berdasarkan Nota Pentaksiran 1986 itu.

Jadi, kita boleh berhujah kerana ada isu yang sangat besar dan kita telah bersedia untuk mendepani kes ini. Termasuk research yang telah dibuat oleh kumpulan kita untuk mendepani keadaan itu.

Tambah beliau, Nota yang dibuat ada beberapa perenggan yang disalahtafsirkan, jadi pembacaan tersebut perlu dibaca secara detail. Kita percaya ada ruang-ruang untuk kita berhujah supaya dapat kemenangan di peringkat Mahkamah Rayuan.

Isunya, adalah pentaksiran kepada nota yang dibuat Tun Ghafar Baba pada ketika itu. Klausanya misalnya ada proviso boleh menggunakan perkataan-perkataan tertentu dengan syarat untuk kegunaan Kristian sahaja. Jadi persoalannya adalah adakah proviso itu terpakai kepada perenggan yang pertama ataupun perenggan kedua.

Bagi saya, perenggan pertama contohnya dia tak benarkan langsung. Takkanlah tak benarkan langsung kena ada boleh guna dengan nada klausa tersebut. Itu antara bacaan-bacaan teknikal yang perlu dibaca secara detail tanpa diabaikan sedikit pun.

Jadi, bermakna secara umumnya masih ada ruang-ruang untuk kita berhujah untuk melihat kepada penghakiman-penghakiman terdahulu untuk berhujah supaya kita dapat kemenangan di peringkat rayuan.

Selain itu, mufti-mufti hampir seluruh Malaysia telahpun membuat persetujuan melalui Muzakarah Fatwa Kebangsaan supaya kalimah-kalimah ini tidak boleh digunakan. Mufti sendiri pun telah membuat keputusan. Adakah 10 mufti ini telah dirujuk apabila nak menarik balik rayuan kes tersebut?

Sebenarnya, banyak pemegang taruh untuk kes ini lagi termasuk 3 pemegang taruh bersifat institusi seperti yang dinyatakan iaitu Majlis Raja-Raja, Majlis Agama Islam dan Jabatan Mufti.

Jelas beliau, kalau ada desakan dari pihak sana boleh saja berbincang dan berunding dengan secara bersama untuk melihat apa keputusan yang boleh dibuat bukannya tarik balik dalam keadaan diam-diam. Tidak adakah sekelumit hormat kepada 3 badan-badan ini terutamanya kepada Tuanku ataupun hormat kepada mufti dan sebagainya sebelum membuat keputusan ini.

Sebenarnya, lebih banyak mudaratnya, termasuk akan timbul kecelaruan dan kekeliruan jika terus dibiarkan orang bukan Islam dengan sewenang-wenangnya menggunakan istilah yang khusus untuk agama Islam kepada bukan Islam.

Bagaimanapun, bukan sahaja 3 entiti penting yang terkait secara langsung tidak dirujuk malah Kerajaan tanpa rasa bersalah melanggar titah perintah baginda Tuanku.

Kuasa Peguam Negara Dan Penghakiman Mahkamah Kini Makin Dipertikai

Selain itu, antara perkara yang kita boleh buat dan bincang secara lanjut ialah sejak kebelakangan ini kuasa Peguam Negara banyak dipertikaikan oleh banyak pihak. Dan penghakiman-penghakiman mahkamah pun ada menyatakan kuasa Peguam Negara bukan lagi absolute bukan lagi mutlak ia boleh dipertikaikan. Jadi di mana kita nak pertikaikan. Kita boleh pertikaikan di Mahkamah bukan di kedai kopi dan sebagainya, itu tidak ada kesan apa-apa.

Jadi kita boleh, melihat kepada research semula kepada kedudukan undang-undang sama ada kita boleh failkan satu permohonan semakan kehakiman di mahkamah untuk menyemak kuasa yang dibuat oleh tindakan Peguam Negara yang menarik balik kes rayuan tersebut adalah tindakan yang betul ataupun tidak. Semakan ini dibuat bagi membatalkan keputusan tarik balik rayuan tersebut.

Ini antara perkara baru dan banyak kajian yang perlu dibuat untuk ke arah itu tapi bagi saya tidak ada masalah, kita boleh buat dan tak kisah sama ada kita menang atau kalah. Kalau kalah sekalipun sekurang-kurangnya kita sudah ada precedent tentang apa yang perlu dibuat seterusnya untuk memperbaiki perkara-perkara tersebut pada masa akan datang untuk kes-kes yang lain yang berkaitan.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: