Kopi Ngabang, Kesedapannya Hingga Ke Alam Mimpi
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini
KUALA TERENGGANU, 19 Disember 2021 – Kalau pergi Terengganu, makanan laut celup tepung itu antara makanan yang wajib ada dalam senarai tempat yang harus dilawati.
Namun, siapa sangka, kembara team Samudera.my ke Kuala Terengganu kali ini sebaliknya jatuh cinta dengan keenakan kopi buatan tempatan.
Kedai Kopi Ngabang. Itu nama kedai kopi yang membuatkan semua orang dalam team kami jatuh cinta.
“Kopi dari Ipoh. Saya orang Ipoh, kahwin dengan orang Terengganu. Perak ni famous dengan kopi daripada Taiping, daripada Kampar. Tapi ni kopi Melayu, kopi Che Nah,” kata pemilik Kedai Kopi Ngabang, Sharifah Nurul Aqilah Bt Sayed Mohd Zaris, 33 tahun.
Tercetusnya idea untuk membuka kedai kopi di situ adalah setelah Aqilah melihat kurangnya kedai berkonsepkan kopitiam.
“Kafe banyak. Banyak sangat coffee shops, kalah KL. Tapi kopitiam tu kurang.”
Apabila ditanya mengapa kopitiam miliknya dinamakan sebagai Kedai Kopi Ngabang, usahawan muda ini menjawab, ia kerana kopitiam itu terletak di depan lintasan pejalan kaki Sekolah Rendah Kompleks Mengabang Telipot.
Konsep hiasan dalaman kopitiam tersebut juga menarik untuk dipandang. Rupa-rupanya, kebanyakan barang hiasan yang ada adalah hasil kitar semula.
“Pintu rumah yang dah lama tak pakai kita jadikan meja. Hiasan di dinding pun banyak daripada barang yang hanyut ke pantai. Kita kutip dan tengoklah apa yang boleh dibuat.”
Antara menu yang paling menambat hati kami adalah Kopi Ngabang. Menu minuman ini sememangnya antara best-seller di kopitiam tersebut.
“Kita specialize dalam local coffee. Kita ada Kopi Ngabang which is kita guna Vietnam filter, tapi kopi tu kopi tempatan, bukan daripada Vietnam. Filter sahaja untuk bagi rasa yang lebih kaw pada kopi itu.”
Untuk makanan pula, menu best-seller adalah roti bakar telur goyang dan kuetiau goreng.
“Kuetiau goreng tu sebab memang resepi original dari Ipoh dengan mee kari. Basic curry Chinese style. Kalau datang sini, kena cuba Nasi Lemak Paru, Kuetiau Goreng, Mee Kari dengan Roti Bakar Telur Goyang.”
Sebelum berpamitan, penulis sempat bertanyakan moto yang dipegang oleh Aqilah.
“Tidak putus asa, sabar dan jujur dalam apa saja perkara. Saya juga mahu mengucapkan terima kasih kepada mereka yang datang ke kedai ini mencuba makanan tempatan dan makanan serta kopi berkonsepkan kopitiam. Terima kasih,” kata Aqilah.
Bagi sesiapa yang pergi ke Terengganu, bolehlah singgah ke Kedai Kopi Ngabang yang menyediakan makanan tradisi Terengganu serta kombinasi Kopitiam Ipoh style ini. Alamat kopitiam ini adalah seperti berikut:
9170B Kampung Wakaf Tengah 21030 Kuala Nerus Terengganu