KKM Kawal Selia SOP Umrah Berikutan Arab Saudi Bebas Sekatan
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
KUALA LUMPUR, 09 Mac 2022 – KKM akan mengawal selia sebarang perubahan Prosedur Operasi Standard (SOP) umrah susulan Arab Saudi membebaskan sekatan COVID-19 termasuk tidak mewajibkan ujian PCR atau RTK sebelum tiba ke negara itu.
Menurut Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri, hal berkaitan ujian COVID-19 adalah dikawal selia KKM dan kementeriannya sudah berbincang dengan KKM mengenai perkara tersebut.
Beliau menyatakan bahawa kementeriannya mengambil maklum akan kebebasan sekatan Arab Saudi yang tidak mewajibkan pelawat divaksin mempamerkan hasil ujian PCR atau RTK yang negatif sebelum tiba di negara itu atau diwajibkan menjalani kuarantin.
Datuk Seri Nancy juga memaklumkan bahawa perubahan dan keputusan berkaitan yang diputuskan KKM akan dibentangkan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) disertai dengan pindaan lain yang memudahkan ibadah umrah.
Langkah itu disambut baik agensi pelancongan dan umrah negara ini termasuk Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH) dan Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA) berikutan ia memudahkan urusan jemaah haji dan umrah ke negara itu.
Baru-baru ini, Arab Saudi membatalkan beberapa sekatan berkaitan COVID-19 berikutan keadaan pandemik negara itu yang semakin pulih termasuk penjarakan fizikal di tempat awam serta kuarantin untuk pelawat yang telah divaksin.