Khitan Perempuan Amalan Sia-Sia – Mantan Ketua Hakim Syarie Terengganu
KUALA LUMPUR – “Kalau melihat kepada pendapat Al-Syeikh Ali Jumaah, pergi kepada orang bijak pandai yang adil, kombinasi pendapat doktor, pendapat mereka yang faham hukum, maka di situ akhirnya kita ketemu bahawa perbuatan ini adalah sia-sia,” jawab Dato’ Ismail Yahya, mantan Ketua Hakim Syarie apabila disoal mengenai hukum berkhitan bagi perempuan.
Jawapan tersebut diberikan oleh Dato’ Ismail Yahya semasa terlibat sebagai panel di dalam forum bertajuk ‘Seminar Sunat Perempuan: Mengenal dan #Pikirbalik Amalan Turun-Temurun’ anjuran Sisters In Islam.
“Bila fizikal yang normal melakukan khitan perempuan, akan sampai kepada sesuatu yang sia-sia dan tidak perlu diamalkan kerana memberi mudarat dan akan merugikan,” tambah Dato’ Ismail yang juga merupakan mantan Mufti Negeri Terengganu itu.
Bersetuju dengan kenyataan ini adalah Pakar Pembedahan Kanak-kanak di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof Dr. Dayang Anita.
“Hukum khitan perempuan adalah wajib di Malaysia tetapi hasil kajian pihak perubatan mendapati terdapat komplikasi yang berlaku selepas praktik tersebut.”
“Kita tidak minta ubah Fatwa tetapi kita ingin memaklumkan bahawa sunat perempuan ada komplikasi yang boleh memudaratkan kepada penerima.”
Jadi prosedur tersebut sepatutnya diharamkan kerana mempunyai komplikasi yang memudaratkan, tegas pemegang Ijazah Sarjana Kedoktoran dari Universiti Kebangsaan Malaysia itu.
SIS menganjurkan forum ‘Seminar Sunat Perempuan: Mengenal dan #Pikirbalik Amalan Turun-Temurun’ tersebut bersempena “Hari Antarabangsa Zero Toleransi Untuk Sunat Perempuan” yang disambut pada 6 Februari 2021 yang lalu.