Khidmat Dron Amat Diperlukan, Mudahkan Operasi Bomba
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
NILAI, 10 September 2022 – Penggunaan dron buat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dapat membantu memberi gambaran awal sesuatu kejadian yang berlaku sekali gus membolehkan tindakan awal diambil.
Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM, Datuk TS Nor Hisham Mohammad berkata, buat masa ini kemudahan itu hanya digunakan oleh Unit Udara JBPM.
“Keperluan dron itu memang ada tapi kita berdepan dengan kekangan peruntukan. Buat masa ini, hanya terdapat enam unit dron ditempatkan di Unit Udara JBPM.”
“Kita ada dron mempunyai keupayaan untuk diterbangkan waktu malam dan mengesan suhu yang biasanya digunakan khusus untuk kes kebakaran hutan dan operasi mencari dan menyelamat di kawasan hutan.”
“Ia dapat membantu mendapatkan imej awal sesuatu kejadian berlaku dan tinjauan awal melalui dron yang dilakukan kita boleh menyusun gerak kerja,” katanya pada sidang akhbar di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nilai pada Jumaat.
Namun disebabkan kekurangan dron, JBPM di setiap negeri mengambil inisiatif menyertai kelab dron luar bagi mendapatkan bantuan mereka jika ada keperluan menggunakan teknologi itu dalam operasi dilaksanakan.
Pada masa sama, pihaknya turut mendapat bantuan dron dari Pejabat Daerah dan Tanah dan Jabatan Alam Sekitar yang sememangnya mempunyai kemudahan itu.
“Setakat ini kita mendapat kerjasama baik daripada mereka. Tapi dengan keadaan semasa saya melihat teknologi dron itu sangat diperlukan oleh bomba.”
Beliau berharap teknologi dron dapat ditempatkan di 48 pejabat zon bomba di seluruh negeri.