Kes Kit Ujian Covid-19 Palsu: Hadkan Tempat Penjualan Kit – CAP
Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.
GEORGETOWN, 28 Februari 2022 – Pihak kerajaan dipohon oleh Persatuan Pengguna Pulau Pinang agar mengehadkan premis untuk penjualan kit ujian kendiri COVID-19 bagi mengelakkan terdapatnya penjualan kit ujian palsu dan tidak diluluskan oleh Pihak Berkuasa Peralatan Perubatan (MDA).
Hal ini kerana, berikutan permintaan kit ujian kendiri COVID-19 yang tinggi dalam kalangan pengguna, sesetengah pihak cenderung untuk mengambil kesempatan dengan menjual kit ujian palsu dan tidak mendapat kelulusan MDA.
Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader, turut meluahkan rasa bimbang sekiranya terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab menjual kit ujian kendiri COVID-19 yang tidak mendapat kelulusan dan palsu secara atas talian.
“Menerusi tinjauan, CAP mendapati kit ujian kendiri COVID-19 mudah didapati di farmasi, pasar raya, kedai serbaneka 24 jam dan stesen minyak,” ujarnya.
Beliau berkata, kit ujian kendiri tersebut kian mendapat permintaan yang tinggi berikutan peningkatan kes COVID-19 yang semakin menular. Namun begitu, terdapat pengguna yang sukar untuk mengenal pasti akan kesahihan kit ujian tersebut.
“Bagi memudahkan pengguna mengenal pasti peralatan diluluskan oleh MDA, CAP mencadangkan ciptaan logo umum digabungkan dengan kod QR yang mudah dikenali pengguna dan sekiranya mereka (pengguna) mahu, mereka boleh mengimbas kod QR itu bagi mendapatkan butir-butir produk berkenaan.”
“Berikutan penjualan meluas itu, kami ingin tahu sama ada ia dibenarkan oleh MDA atau sebaliknya,” katanya.
Menurut Mohideen, sebanyak 12 syarikat telah dikenal pasti dan diluluskan oleh pihak MDA, namun ia masih menyukarkan pengguna untuk mengetahui kesahhannya di premis pembelian.
Malahan, sistem sedia ada yang menggunakan nombor siri MDA kurang membantu berikutan ia memerlukan masa bagi memeriksa bungkusan kit ujian tersebut berbanding melihat dengan jelas logo MDA.
Baru-baru ini, tular satu audio visual memaparkan keputusan kit ujian kendiri COVID-19 positif -dengan hanya menggunakan air paip.
Tegas Mohideen, hasil ujian kit yang negatif dan palsu mampu membuatkan pengguna leka dan seterusnya akan meningkatkan potensi penularan virus itu dan mengakibatkan pengguna tidak mendapat rawatan di peringkat awal.