Kerajaan Takut Orang Melayu Bersatu Bangkit Menentang Dasar – Hj Aminuddin Yahaya
KUALA LUMPUR, 12 Mei 2023 – “Apa yang saya boleh jangkakan ialah pihak Kerajaan sangat takut orang Melayu bersatu dan bangkit menentang dasar yang dibuat oleh pihak Kerajaan yang sehingga ke hari ini belum menampakkan tindakan positif kepada orang Melayu.”
“Malah orang Melayu dihina di khalayak ramai dan dilabel sebagai angkuh. Sekolah agama tidak dibela tetapi sekolah swasta vernakular yang tidak layak pula dibantu. Tanah Kerajaan yang diceroboh secara haram tetapi Kerajaan diam membisu. Rakyat yang menderita tidak dibantu tetapi disuruh berhutang dan mencagarkan wang KWSP mereka,” tempelak Pengerusi Kepimpinan Zaaba (ZIL), Hj Aminuddin Yahaya mengenai kenyataan negatif Kerajaan terhadap Proklamasi Orang Melayu baru-baru ini.
Ujarnya, sejak Proklamasi Orang Melayu mula disuarakan sebulan lalu, hampir setiap hari ada kenyataan dari pihak Kerajaan atau penyokong tegar PMX memberikan komen negatif.
Lebih teruk, kenyataan negatif itu tidak berfakta dan hanya ‘nak meroyan kosong’ sahaja, tegas beliau.
BACA JUGA: Jabatan Perlindungan Data Peribadi Siasat Insiden Kebocoran Data Pemohon UiTM
BACA JUGA: Kes Buli Tular: Tindakan Disiplin Akan Diambil – Sekolah
BACA JUGA: Taufan Mocha Dijangka Menghentam Bangladesh – Myanmar
Menerusi Facebooknya, aktivis itu juga mendedahkan bahawa proklamasi ini menjadi mimpi ngeri kepada Kerajaan sehingga semua pihak termasuk ketua-ketua NGO dipaksa membuat kenyataan membantah.
“Pelbagai label diberikan antaranya; kenyataan lapuk yang diulang, kenyataan berbaur rasis, kenyataan bersifat politik dan sebagainya.”
Tambah Hj Aminuddin, “Ketakutan Kerajaan semakin menjadi-jadi apabila sambutan yang diberikan oleh orang Melayu semakin bertambah apatah lagi apabila pemimpin parti-parti PAS dan BERSATU turut menyokong.”
Mengulas lanjut, beliau meneliti 12 perkara yang dinyatakan dalam Proklamasi berkenaan sekali gus memperhatikan ‘manakah yang boleh dianggap rasis atau menghina bangsa lain’.
“Saya tidak nampak. Jadi apa yang ditakutkan sangat oleh Kerajaan sehingga dilihat bagai cacing kepanasan? Terus terang, saya tidak pasti.”
Atas sebab itu, Hj Aminuddin mempersoalkan, “Dalam keadaan sebegini, apakah salah kalau ada pihak yang mahu menyatukan kembali orang Melayu?”
“Hanya mereka yang mati jiwa perjuangan terhadap bangsa Melayu akan membantah apatah lagi menggelupur pada proklamasi ini,” kata beliau lagi.