Tempatan

Kerajaan Pahang Benar Orang Awam Berbuka Puasa di Padang MBK 1

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai Tiktok, Youtube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUANTAN, 31 Mac 2022 – Kerajaan Negeri melalui Mesyuarat Jawatankuasa Task Force COVID-19 Negeri Pahang dengan sukacitanya memaklumkan bahawa aktiviti berbuka puasa di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK 1) dibenarkan sepanjang Ramadan ini.

Menurut Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, kebenaran berbuka puasa di Padang MBK 1 ini diberikan dengan mengambil kira kadar kebolehjangkitan yang rendah di kawasan terbuka.

Sebanyak 136 lot atau petak telah disediakan untuk aktiviti berbuka puasa ini dan orang awam digalakkan untuk membuat tempahan lot sekurang-kurangnya tiga hari sebelum tarikh berbuka dan ia tertakluk kepada kekosongan.

Tempahan itu boleh dibuat secara atas talian di laman rasmi Majlis Bandaraya Kuantan. Tempoh masa untuk aktiviti itu pula adalah dari jam 6.00 petang sehingga jam 8.30 malam.

Selain itu, beberapa kelebihan lain juga diberikan buat orang awam antaranya kebenaran solat terawih 20 rakaat di masjid dan surau di seluruh Pahang sepanjang bulan Ramadan ini.

Penganjuran majlis berbuka puasa, moreh dan sahur serta program penghayatan ibadah sepanjang bulan Ramadan ini turut dibenarkan seperti qiamullail dan tadarus Al-Qur’an.

Bukan itu sahaja, operasi atau aktiviti bagi Pasar Ramadan dan Bazar Aidil Fitri turut boleh dianjurkan.

Menerusi tulisan di hantaran Facebooknya, beliau mengatakan bahawa waktu bagi aktiviti Pasar Ramadan bermula dari jam 3.00 petang hingga 8.00 malam manakala bagi aktiviti Bazar Aidil Fitri pula waktunya adalah dari 12.00 tengah hari sehingga 12.00 tengah malam dan ia tertakluk kepada ketetapan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau turut menekankan bahawa pekerja dan peniaga harus mempunyai status lengkap divaksinasi. Manakala, golongan yang berisiko seperti kanak-kanak dan warga emas berusia 70 tahun ke atas tidak digalakkan untuk mengunjungi tapak jualan tersebut.

Selain itu, peniaga digalakkan untuk menyediakan kaedah pembayaran tanpa tunai atau cashless bagi mempercepatkan masa, mengurangkan sentuhan dan mengelakkan kesesakan di tapak jualan.

Sebelum ini, kerajaan Pahang telah membenarkan aktiviti berbuka puasa di Padang MBK 1 berkenaan namun masih menunggu kelulusan dari pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: