Tempatan

Kerajaan Laksana Operasi Pembenihan Awan Di Kelantan Bermula Jumaat Ini

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PUTRAJAYA, 19 Jun 2024 – Kerajaan akan melaksanakan operasi pembenihan awan (OPA) di Kelantan selama tiga hari bermula Jumaat ini.

“Kerajaan bersetuju melaksanakan OPA susulan permohonan oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan saya telah meluluskan penggunaan dana Tabung Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) sebanyak 5 juta bagi tujuan ini,” kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam satu kenyataan hari ini.

Jelas beliau, operasi berkenaan diharap dapat meningkatkan paras air Sungai Kelantan supaya membekalkan pengairan ke kawasan-kawasan pertanian yang terjejas ketika ini.

Menurutnya, operasi tersebut merupakan tindakan awal oleh Kerajaan Persekutuan bagi mengatasi penyusutan air Sungai Kelantan selain menangani impak fenomena cuaca panas serta Monsun Barat Daya yang dijangka berterusan sehingga penghujung September 2024.

Malah, katanya, taburan hujan yang rendah yang dicatatkan bermula Februari hingga April tahun ini telah menyumbang kepada penyusutan paras air Sungai Kelantan serta mengganggu operasi pam di seluruh kawasan KADA.

“Bagi membolehkan rumah pam Kemubu beroperasi sepenuhnya, Sungai Kelantan perlu mencapai aras air pada ketinggian 4.90 meter, tetapi KADA hanya merekodkan aras air sungai Kelantan terendah iaitu 2.19 meter pada minggu kedua April 2024 lalu.”

Beliau justeru menyatakan harapan agar usaha bersepadu tersebut dapat membantu meningkatkan kapasiti air di kawasan tadahan hujan dan seterusnya menjamin bekalan air dapat disalurkan kepada pengguna tanpa sebarang gangguan.

“Saya juga telah menyarankan pihak NADMA dan KPKM untuk melaporkan perincian hasil OPA pada Ahad ini,” katanya lagi.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: