Keperluan Pasang CCTV Di Masjid, Surau Seluruh Johor Diteliti – EXCO Hal Ehwal Agama Johor
BATU PAHAT, 18 Januari 2024 – Keperluan pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di masjid dan surau seluruh negeri ini akan dipertimbangkan dan diteliti Kerajaan Johor, kata EXCO Hal Ehwal Agama Johor, Mohd Fared Khalid.
Ia adalah ekoran daripada insiden kebakaran di Sri Medan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan perbuatan khianat.
Menurut beliau, pemasangan CCTV itu penting demi mengelakkan insiden sama berulang selain ramai yang mencadangkan agar surau dan masjid di Johor dilengkapi dengan CCTV.
Dalam pada itu, beliau turut melihat adanya keperluan untuk semua surau dan masjid dilengkapi dengan alat pemadam kebakaran sebagai langkah awal sekiranya berlaku sebarang kemungkinan.
Pada Ahad lalu, penduduk di Sri Medan dikejutkan dengan insiden kebakaran di Surau Parit Bangas yang berlaku pada sekitar jam 10 malam.
Menurut laporan, ia adalah selepas daripada insiden kebakaran di Masjid Parit Simis yang terbakar dipercayai angkara perbuatan khianat.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihak polis tidak menolak kemungkinan individu yang membakar sebuah masjid dan surau di Sri Medan itu adalah suspek yang sama berikutan siasatan mendapati terdapat persamaan modus operandi yang digunakan ketika melakukan perbuatan khianat tersebut.