Tempatan

Kepentingan Dan Kebajikan Rakyat Saya Mesti Dijaga Sebaiknya – Tengku Hassanal

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

PAHANG, 16 Julai 2022 – “Saya mahu penghulu saya sentiasa peka, dan prihatin, seterusnya bertindak segera apabila berlaku kejadian atau bencana atau malapetaka yang melibatkan rakyat saya sama ada yang tinggal di kampung-kampung, ataupun di bandar-bandar seperti kejadian rumah terbakar, bencana ribut, banjir, tanah runtuh, dan lain-lain.”

“Kepentingan dan kebajikan rakyat saya mesti dijaga sebaik-baiknya,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika menyempurnakan Mesyuarat Agung Kesatuan Penghulu Penggawa Semenanjung Malaysia (KPPSM) Cawangan Negeri Pahang Kali Ke-47/2022 di Hotel Grand Darul Makmur semalam.

Kebawah Duli Tuanku bertitah sedemikian supaya para penghulu di negeri tersebut dapat menjaga kepentingan dan kebajikan rakyat baginda sebaiknya dan segera bertindak sekiranya berlaku sebarang malapetaka yang melibatkan rakyat.

Dalam majlis tersebut, Kebawah Duli Tuanku turut menegaskan bahawa tugas penghulu adalah amat luas merangkumi pelbagai perkara dan aspek meliputi aktiviti sosial, ekonomi mahupun agama.

“Misalnya masalah kemiskinan, setiap penghulu yang bertugas di sesebuah mukim mesti tahu dan arif berkenaan masalah tersebut. Bilangan keluarga, pekerjaan ketua keluarga, pendapatan bulanan, masalah persekolahan anak-anak, keadaan rumah dan lain-lain lagi.”

“Saya mahu setiap penghulu sediakan maklumat seperti ini dengan lengkap dan boleh dikemukan dengan segera jika saya meminta daripada penghulu sekalian,” titah Kebawah Duli Tuanku yang cakna akan keperluan rakyat baginda.

Dalam pada itu, Kebawah Duli Tuanku juga menitahkan para penghulu agar menjelaskan dan memaklumkan kepada generasi masa kini tentang kepentingan dalam mempertahankan institusi Diraja.

“Saya juga berharap penghulu saya semua dapat menjadi benteng dalam mempertahankan institusi Diraja. Penghulu perlu sampaikan amanat, dan pesanan saya kepada seluruh rakyat saya,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang.

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: