Tempatan

Kenyataan Tommy Bersifat Jahat – JALSOA

Jangan lupa sertai TikTok, YouTube, Telegram, Twitter, Instagram dan Facebook kami untuk berita terkini.

KUALA LUMPUR – Persatuan Pegawai-Pegawai Perkhidmatan Kehakiman Dan Perundangan (JALSOA) mengecam kenyataan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas yang memburukkan kesemua Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara dalam bukunya, “My Story: Justice In The Wilderness”.

“Pandangan Tan Sri Tommy Thomas amat tidak bertamadun dan mencerminkan kedangkalan pemikirannya. Apa-apa jua perasaan tidak puas hati beliau semasa berurusan dengan Pegawai Undang-Undang tidak wajar dan tidak patut dicoretkan untuk tatapan umum.”

Tommy, di dalam bukunya menyifatkan Pegawai Undang-Undang di Jabatan Peguam Negara sebagai peguam kerajaan yang hanya menunggu gaji bulanan dan menantikan pencen selepas persaraan serta menjalankan kerja pentadbiran.

“Kenyataan ini adalah bersifat jahat malah menghina Pegawai Undang-Undang secara keseluruhannya. JALSOA amat terkilan dan terjejas dengan kenyataan beliau tersebut.”

Menepis semua tuduhan dan dakwaan ini, Jawatankuasa Eksekutif JALSOA berkata, mereka bekerja demi kepentingan negara dan kepentingan awam. Malah mereka sentiasa menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Pegawai Undang-Undang tanpa mengira siapa Peguam Negara mahupun kerajaan yang memerintah.

“Cabaran, dugaan dan tekanan dalam tugasan seorang Pegawai Undang-Undang memberi implikasi bukan kepada mana-mana individu dan pelanggan tetapi memberi kesan kepada kepentingan negara dan kepentingan awam dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.”

“Kami tidak bekerja untuk mengejar populariti individu, malahan dasar kerahsiaan, integriti dan profesionalisme yang ditekankan di dalam perkhidmatan awam sentiasa melatari setiap tindakan dan tatakerja Pegawai Undang-Undang.”

Justeru, JALSOA dengan tegas menyatakan, persepsi buruk yang dilakarkan Tommy dalam memoirnya itu adalah ciptaan sendiri atas kegagalannya menerajui Jabatan Peguam Negara serta memahami pentadbiran perkhidmatan awam.

Tommy juga sepatutnya menjaga nama baik jawatan Peguam Negara yang pernah disandangnya dan sewajarnya menjaga integriti semua yang pernah bekerja bersamanya.

“JALSOA berpendirian bahawa Tan Sri Tommy Thomas sewajarnya menjaga kehormatan dan nama baik Peguam Negara yang pernah disandang beliau, serta institusi perkhidmatan perundangan dalam perkhidmatan awam sebagaimana yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.”

“Tan Sri Tommy Thomas tidak wajar mempertikaikan kemampuan, keupayaan dan keboIehan Pegawai Undang-Undang di bawah seliaan beliau dalam tempoh yang singkat apatah lagi menyebut dengan jelas nama Pegawai Undang-Undang dalam bukunya dengan cemuhan.”

Leave a Reply

Back to top button
%d bloggers like this: